Kaktun Enterprise sasar pasaran pasar raya

Kaktun Enterprise sasar pasaran pasar raya

SAHDATUN Nazirah Zainal Abidin menunjukkan panipuri yang dijualnya ketika ditemui di Pusat Penjaja D'Selera Lindungan, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaktun Enterprise menyasarkan menembusi pasaran pasar raya bagi produk panipuri jenamanya setelah menerima pensijilan halal yang dijangka diperoleh selepas Hari Raya Aidilfitri atau separuh pertama tahun ini.

Pengasanya, Sahdatun Nazirah Zainal Abidin, 46, berkata, pihaknya mendapat dana daripada sebuah bank tempatan yang membimbing usahawan perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) sepertinya untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, pihaknya yang menerima dana tersebut pada tahun lepas kini dalam proses untuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan untuk memperoleh pensijilan itu.

“Saya jangka mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri dapat menyiapkan proses untuk dapatkan pensijilan halal ini.

“Ini kerana, buat ini saya juga agak sibuk untuk membuat persediaan untuk berniaga di bazar Ramadan tidak lama lagi. Saya akan berniaga di Bazar Ramadan Kelana yang merupakan tahun kedua saya berniaga di situ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Penjaja D’selera Lindungan di sini, baru-baru ini.

Sahdatun Nazirah berkata, ada beberapa pasar raya yang sudah berminat untuk memasarkan kerak bola panipuri yang dijualnya di pasar raya masing-masing menjadikan pem­bakar semangat kepada untuk berusaha mendapatkan pensijilan halal.

Ibu kepada tiga orang anak itu kini menjual dua jenis kerak bola panipuri iaitu biasa atau ‘original’ dan keju.

“Saya juga ada cadangan untuk menambah perisa lain pada masa hadapan seperti telur masin dan tomyam,” ujarnya.

Dia berkata, dia juga menjual panipuri yang siap untuk dimakan di kedainya, selain menyertai program pameran dan juga bazar.

“Sebelum menjual panipuri ini, saya pernah menjual barang terpakai dan kemudian perniagaan itu terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kemudian saya mula menjual kuih tepung pelita semasa PKP dan dibantu oleh anak ketika itu.

“Selepas anak sambung belajar, agak susah untuk saya buat tepung pelita sendiri kerana mengambil banyak masa. Kemudian saya ada mencuba panipuri dan mula tertarik untuk menjual produk ini.

“Ini kerana tidak ramai peniaga Melayu yang menjual panipuri ini. Saya juga telah mengolah kuahnya untuk menetapi citarasa rakyat Malaysia dan telah mendapat sambutan yang baik dari pelanggan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN