Blackmores perkukuh jenama kesihatan dengan sijil halal

Blackmores perkukuh jenama kesihatan dengan sijil halal

Kumaran Chandrasergaran (tengah), Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke (kanan), dan Ketua Perundingan & Penasihat Halal HDC, Mohd Dhaliff Ghaus (kiri) pada Majlis Persembahan Sijil Halal kepada Blackmores, di Hotel VE, di sini baru-baru ini.–UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komitmen jenama kesihatan Blackmores dalam menyediakan suplemen kesihatan berkualiti tinggi kepada lebih ramai pengguna termasuk masyarakat Islam, diperkukuh menerusi pemerolehan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini. 

Pengurus Negara Blackmores bagi Malaysia dan Singapura Kumaran Chandrasergaran berkata,  pencapaian ini menjadikan jenama barangan buatan Australia pertama yang mendapat sijil halal dan mengukuhkan mereka dalam industri kesihatan dan kesejahteraan.

“Selain pematuhan halal, pensijilan ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Blackmores terhadap prinsip etika termasuk sumber bahan yang bertanggungjawab, amalan buruh yang beretika, kelestarian alam sekitar dan kebajikan haiwan.

“Pensijilan ini mengukuhkan komitmen Blackmores dalam menyediakan produk beretika berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat Islam tetapi juga semua pengguna. 

“Ia meningkatkan kepercayaan pengguna dan mengesahkan komitmen Blackmores terhadap ketelusan, kecemerlangan dan kemampanan dalam setiap aspek perniagaannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima pensijilan halal Jakim baru-baru ini. 

Menurutnya, meskipun telah menerima pengiktirafan halal daripada badan dari Australia dan Indonesia sebelum ini, pengiktirafan halal daripada Jakim dilihat penting memandangkan status halal Jakim yang dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

“Dengan perolehan pensijilan ini, semua 57 unit simpanan stok (SKU) Blackmores di negara ini akan menggunakan logo halal Jakim, berbanding logo halal dari Australia yang digunakan sebelum ini.

“Bagaimanapun untuk pasaran lain, ia akan bergantung kepada pasaran masing-masing, sama ada untuk terus menggunakan pensijilan halal Blackmores sedia ada, atau mereka berpandangan logo halal Jakim ialah sesuatu yang diingini oleh pelanggan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Perundingan dan Penasihat Halal di Halal Development Corporation Berhad., Dhaliff Anuar berkata, pensijilan halal Blackmores menjadi contoh terbaik kepada  piawaian global dan amalan beretika dalam industri kesihatan. 

“Kami berbesar hati dapat menyokong dedikasi Blackmores terhadap kecemerlangan dan kebolehpercayaan dalam memenuhi keperluan pengguna muslim,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×