TEKANAN dalam kerja semasa bekerja sebagai akauntan pernah menjadikan berat badan Ciinndey Wong naik kepada 80 kilogram (kg).
Menyedari perkara tersebut buruk untuk kesihatannya, Ciinndey yang berasal dari Kuantan, Pahang mula mencari cara untuk membantunya mengurangkan berat badan dan akhir menemukannya kepada produk herbal serai dan misai kucing.
Keyakinan kepada produk herbal tersebut mendorong graduan daripada Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia itu untuk berkecimpung dalam perniagaan dan akhirnya melahirkan produk minuman botani dibawah jenama Rhymba Hills.
Pengasas Ladang Sari International Sdn. Bhd. yang mengeluarkan jenama produk botani tersebut berkata, dia memulakan perniagaan tersebut dengan hanya berniaga di bazar sekitar tahun 2014 hingga 2016.
Katanya, ketika itu, masih ramai lagi yang tidak mengetahui mengenai produk serai dan misai kucing, tambahnya pula khasiatnya.
“Saya adalah seorang tidak minum kopi. Jadi apabila pergi ke kafe saya akan berasa kecewa kerana tidak ada produk yang boleh saya minum kerana kebanyakannya adalah berasaskan kopi.
“Jika ditanya apakah perbezaan produk minuman botani kami dengan yang lain di pasaran adalah produk ini tidak mempunyai daun teh. Oleh itu, ia tidak mempunyai sebarang kafein.
“Bahan mentah yang kami gunakan termasuk halia, serai, daun pandan dan misai kucing,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ciinndey berkata, produknya yang telah mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2018 menggunakan bahan mentah yang 100 peratus tempatan.
Katanya, ini adalah sebahagian daripada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka yang menitikberatkan dari mana bahan mentah kami datang.
“Jadi, semua bahan mentah adalah dari dalam negara iaitu halia dari Bentong dan serai, daun pandan, misai kucing serta beberapa lagi dari pembekal kami dari negeri di utara,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga mengambil bahan mentah dalam kuantiti yang tidak begitu banyak dalam satu-satu masa bagi memastikan produk yang dihasilkan sentiasa segar.
“Buat masa ini, produk kami dijual pada harga bermula dari RM16 sekotak boleh didapati di lebih 100 pasar raya dan kedai di seluruh negara, selain sudah pun memasuki pasaran eksport di Jepun, United Kingdom (UK) dan Dubai.
Menurutnya, dia menyasarkan untuk mengeluarkan tiga lagi produk baharu yang berasaskan buah pada tahun ini.
“Kapasiti pengeluaran kami ketika ini adalah sebanyak satu tan sebulan. Kami juga dalam proses untuk mendapatkan mesin baharu. Apabila mendapat mesin baharu nanti, ia boleh ditingkatkan kepada tiga tan,” ujarnya.-UTUSAN










