OPR kekal beri gambaran dasar monetari stabil - Utusan Malaysia

OPR kekal beri gambaran dasar monetari stabil

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus buat kali ke-10 kelmarin memberi gambaran dasar monetari yang stabil.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia juga menggalakkan peniaga dan orang ramai membuat pembiayaan dan pelaburan.

“Saya turut menjangkakan OPR 3.0 peratus bakal dikekalkan sehingga akhir tahun.

“Ia disebabkan risiko kenaikan inflasi masih wujud yang mungkin disumbangkan pelarasan subsidi bahan api RON95 pada pertengahan tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Mohd. Afzanizam berkata, beliau percaya BNM telah memenuhi mandatnya dengan berkesan pada 2024. 

Jelasnya, ekonomi Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan yang mengagumkan sebanyak 5.1 peratus, meningkat daripada 3.6 peratus pada tahun sebelumnya. 

“Pada masa sama, inflasi terus menurun, jatuh daripada puncaknya sebanyak 3.3 peratus pada 2022 kepada 1.8 peratus pada 2024. 

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 mencetuskan lonjakan perbelanjaan domestik, menyebabkan inflasi tarikan permintaan yang lebih ketara. 

“Sebagai tindak balas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memulakan kitaran kenaikan kadar, menaikkan OPR daripada paras rendah sejarah sebanyak 1.75 peratus kepada 2.0 peratus pada Mei 2022,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, ekonomi negara tumbuh secara stabil walaupun sederhana dan tidak membebankan pengguna dan sektor perniagaan. 

“Selagi tiada faktor yang mendesak atau keperluan untuk mengubah dasar monetari OPR akan kekal dan tidak berubah,” katanya.

Beliau turut menjangkakan OPR akan terus kekal pada tahun ini.

“Pada 2025 berkemungkinan akan kekal dan dan secara langsung akan mengukuhkan nilai mata wang ringgit,” katanya.

Kelmarin, BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 2025.

Bank pusat berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.

Menerusi kenyataan, MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan.

MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN