PETALING JAYA: Beberapa projek infrastruktur yang tidak pernah mendapat perhatian meluas dijangka berpotensi untuk dibentangkan di dalam Belanjawan 2025 nanti, menurut RHB Investment Bank Bhd.
Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang dilancarkan pada September menandakan hasrat kerajaan untuk mempercepatkan pengembangan infrastruktur dengan memanfaatkan sumber sektor swasta.
“Projek berpotensi utama yang diketengahkan di bawah PIKAS 2030 termasuk Lebuhraya Kuantan-Singapura, pembesaran Lebuhraya Pantai Barat (Banting-Nusajaya), Koridor Logistik Klang, Lebuhraya Kuala Lumpur Klang dan Lebuhraya Pasir Gudang antara lain (Rajah 3).
“Mana-mana satu daripada projek ini mungkin disebut pada Belanjawan 2025,” katanya dalam nota penyelidikan, semalam.
Tambah beliau, pembangunan lain yang berpotensi dalam Belanjawan 2025 termasuk sama ada Transit Aliran Ringan (anggaran kos: RM16.7 bilion) atau Sistem Transit Pantas Autonomi Tinggi (EART) (anggaran kos: RM7 bilion) yang dilaksanakan di Johor Bahru.
“Pada bulan Mei, Kementerian Pengangkutan dijangka menyelesaikan kajian mengenai cadangan EART di Johor Bahru menjelang Ogos, berpotensi memberi ruang untuk kemas kini semasa Belanjawan 2025.
“Kedua, kami menjangkakan beberapa perkembangan di Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (dianggarkan RM1.8 bilion) di Pulau Pinang.
“Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS di bawah Jabatan Perdana Menteri dan PLUS Malaysia secara rasmi memulakan perbincangan mengenai projek ini pada Januari untuk menangani masalah lalu lintas yang berterusan di Seberang Prai,” katanya.
Jelasnya, penerima manfaat utama termasuk Gamuda Bhd., Sunway Construction Group Bhd dan IJM Corp, yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam projek infrastruktur kerajaan.
Sementara itu, beliau mengulangi unjuran perbelanjaan pembangunan (DE) di bawah Belanjawan 2025 kekal tinggi pada kira-kira RM90 bilion, didorong oleh sebahagian besar DE yang diperuntukkan untuk subsektor pengangkutan iaitu lebuh raya, pelabuhan dan projek rel.
Adam berkata, risiko mungkin terletak pada potensi pelaksanaan levi pekerja asing berbilang peringkat yang memerlukan levi yang lebih tinggi untuk lebih ramai pekerja asing yang diambil.
Katanya, sasaran DE bersih sebanyak RM395 bilion telah diperuntukkan semasa kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) (2021-2025) pada September 2023 berbanding sasaran awal sebanyak RM397 bilion.
“Selain itu, kerajaan juga menaikkan siling untuk DE kasar di bawah RMK-12 (pada mulanya pada RM400 bilion) dengan tambahan RM15 bilion semasa pembentangan Belanjawan 2024.
“Oleh itu, adalah munasabah untuk mengandaikan jumlah DE bersih (tidak termasuk pemulihan pinjaman) akan meningkat secara kasar dengan magnitud yang sama iaitu RM15 bilion kepada kira-kira RM410 bilion daripada RM395 bilion sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, dengan mengandaikan kerajaan komited kepada RM89.2 bilion DE bersih untuk 2024, jumlah DE bersih terkumpul dari 2021 hingga 2024 ialah kira-kira RM317.8 bilion.
“Dengan mengambil kira anggaran DE bersih sebanyak RM410bn dari 2021 hingga 2025 (di bawah RMK12 dan selepas siling dinaikkan dalam Belanjawan 2024), kami menganggarkan DE bersih untuk tahun kewangan 2025 sekitar RM92.2 bilion.
“Kami juga menjangkakan peruntukan DE kepada subsektor pengangkutan adalah sebanyak 20 hingga 23 peratus kerana kira-kira 21 peratus daripada DE telah diperuntukkan untuk subsektor tersebut di bawah Belanjawan 2024,” ujarnya.-UTUSAN










