PETALING JAYA: Malaysia Airports dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing (BDIA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam pengurusan lapangan terbang, teknologi dan inovasi.
Perjanjian ini disahkan dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital, bertepatan dengan Forum Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Global Friend Beijing kesembilan yang dihadiri oleh eksekutif utama dari kedua-dua organisasi.
Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, dengan berkongsi amalan terbaik dalam pemprosesan penumpang, penyelesaian digital dan kelestarian, Malaysia Airports bertujuan untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dan kekal kompetitif.
“Kerjasama ini juga memfokuskan kepada memanfaatkan kepakaran BDIA dalam inisiatif hijau untuk mengurangkan jejak karbon dan mendorong operasi mesra alam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani turut menekankan kepentingan kerjasama itu dalam memposisikan Malaysia sebagai hab penerbangan utama dan meningkatkan pilihan perjalanan.
“Kerjasama ini juga akan memfokuskan kepada strategi pemasaran bersama dan meneroka laluan penerbangan baharu untuk mengukuhkan sambungan antara Malaysia dan China.
“Inisiatif ini membina hubungan yang telah terjalin sebelum ini, termasuk kunjungan delegasi Beijing ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana kedua-dua pihak membincangkan amalan operasi dan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, MoU ini mencerminkan visi bersama untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan pelancongan ketika Malaysia dan China merayakan 50 tahun hubungan diplomatik pada 2024, mengukuhkan peranan mereka dalam landskap penerbangan global.-UTUSAN










