PETALING JAYA: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad mensasarkan berada di kedudukan Koperasi Premier menjelang tahun 2026 dalam profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik tiga tahun 2025 hingga 2027 yang berfokus kepada pertumbuhan inovasi, pemantapan anggota dan menembusi pasaran global.
“Ini bagi meningkatkan manfaat kepada anggotanya serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” beliau berkata demikain sempena Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Terbaik Malaysia 2024 serta penyampaian Anugerah Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini.
Tambahnya, Koop Sahabat telah diiktiraf sebagai Koperasi Kedua Terbaik Malaysia 2024.
“Anugerah ini merupakan pencapaian terbaik bagi Koop Sahabat yang telah berada dalam kelompok lima koperasi terbaik bagi dua tahun berturut-turut sejak tahun 2023.
“Pengiktirafan ini berdasarkan kecemerlangan Koop Sahabat dalam tadbir urus dan peningkatan prestasi yang direkodkan pada tahun semasa sekaligus menyaksikan Koop Sahabat merupakan sebuah koperasi yang diyakini dan berdaya saing di negara ini walaupun dalam usia 12 tahun penubuhanya, “ katanya dalam kenyataan.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Menurut Mohd. Najib, pengiktirafan ini juga didedikasikan juga kepada lebih 450,000 orang anggota diseluruh Malaysia yang terus menerus memberi sokongan dan keyakinan kepada anggota lembaga dan pengurusan tertinggi untuk mentadbir koperasi.
“Usaha ini merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanya yang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 disamping dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada para anggotanya,” katanya.
Beliau turut menegaskan, bahawa koperasi komited untuk mencapai matlamat tersebut dengan menerapkan pelbagai strategi yang menyeluruh.
“Koop Sahabat turut berkembang pesat melalui pertambahan cawangan Sahabat Ar Rahnu yang kini mempunyai sebanyak 34 buah cawangan di seluruh Malaysia yang turut menjadi pusat sehenti (one Stop Centre) bagi kemudahan keanggotan.
“Melalui Ar Rahnu, Koop Sahabat mensasarkan pembukaan 50 buah cawangan menjelang tahun 2027 di seluruh Malaysia bagi memudahkan capaian anggota kepada akses manfaat keanggotaan yang menjadi tunjang kepada koperasi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Najib berkata, anggota Lembaga Koperasi dan pengurusan berpendirian untuk tidak hanya menumpukan pada pencapaian agihan dividen sahaja tetapi melihat dari konteks lebih luas termasuk tadbir urus yang baik serta mengamalkan integriti yang tinggi bagi pencapaian yang cemerlang dan kompetetif.
“Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan di dalam ekuiti awam.
“Dengan visi jangka panjang dan perancangan strategik yang kukuh, Koop Sahabat yakin bahawa akan mencapai kedudukan sebagai salah sebuah koperasi yang terkemuka di Malaysia,” katanya.-UTUSAN










