PETALING JAYA: Bursa Malaysia naik 7.06 mata kepada 1,660.61 pada pukul 9.05 pagi hari ini, berbanding 1653.55 pada penutup semalam.
Indeks dibuka tinggi pada 1659.48 mata.
Jumlah dagangan sebanyak 149.729 bilion unit bernilai RM95.904 juta.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 214 berbanding 167 dengan 238 kaunter tidak berubah, 1,871 tidak diniagakan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi bursa saham di Amerika Syarikat (AS) dilihat bercampur-campur berikutan data ekonomi AS seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua yang disemak kepada 3.0 peratus berbanding 2.8 peratus yang dicatatkan sebelum ini.
Katanya, tuntutan insuran pengangguran juga merosot kepada 231,000 pada minggu lalu.
“Justeru, data ini menunjukkan ekonomi AS masih dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun, perkara ini dilihat tidak akan menjejaskan keputusan untuk menurunkan kadar faedah pada mesyuarat jawatankuasa pasaran terbuka atau FOMC pada 17 dan 18 September nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, indeks FBMKLCI yang merosot semalam seharusnya mencatatkan pemulihan pada hari ini berikutan keputusan kewangan syaraikat tersenarai berada dalam keadaan yang baik serta prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan serta jangkaan pemotongan kadar faedah di AS.
Semalam, pelabur asing masih mencatatkan belian bersih berjumlah RM273.85 juta. – UTUSAN










