Isuzu D-Max 2024, sama tapi tak serupa

Isuzu D-Max 2024, sama tapi tak serupa

ISUZU D-Max X-TerraIN 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA diperkenalkan kepada para media automotif tentang perlancaran Isuzu D-Max 2024, kami agak merasakan penampilan model terbaharu Isuzu ini seolah-olah hanya sebuah model ‘facelift’ yang minimal.

Namun, setelah mengikuti sesi pandu uji di Melaka, ternyata terdapat perubahan signifikan walaupun dari segi fizikalnya tidak terlalu ketara. Benar juga kata-kata perumpamaan, “kenapa perlu dibetulkan barangan yang tidak rosak?”. Isuzu mengambil langkah selamat dengan penambahan minimal pada segi rekabentuk kosmetik dan beberapa penambahan penting dari segi bantuan pemanduan.

REKA BENTUK LUARAN (KOSMETIK)

Tidak dapat dinafikan, bahagian hadapan Isuzu D-Max 2024 ini menjadi tumpuan utama berbanding model 2021. Keinginan untuk menampilkan D-Max yang lebih lasak dan ‘sporty’, kluster lampu utamanya, bumper, grill hadapan dan juga bonet hadapan telah diubah.

Beralih pandangan pula ke sisi trak ini, ternyata mata akan tertumpu kepada rekaan rodanya yang terkini, rim aloi berjejari enam. Melewati bahagian belakangnya pula, sekiranya tidak diberitahu, anda mungkin tidak sedar bahawa rekaan pintu ruangan kargo di belakang telah diperbaharui, kini ia boleh dikunci (terhad hanya untuk model X-Terrain).

Melangkah masuk ke ruang kabin dalam, tempat duduk yang dibaluti kulit rekaan terbaharu, dikatakan berunsurkan rekaan klasik origami Miura Jepun.  Entah kenapa, saya tidak merasa begitu selesa dengan tempat duduk rekaan baharu ini.  Saya rasakan seperti mudah tergelonsor terutama ketika membuat pemanduan agresif. Saya berpendapat, rekaan tempat duduk D-Max yang sebelum ini lebih baik berbanding model terbaharu ini. 

Sekiranya anda memasukki kabin pada waktu malam, anda akan dapat lihat kini ia dihiasi dengan lampu dalaman yang boleh ditukar warnanya. Fungsi ini menambahkan lagi karakter terbaharu D-Max.

Sistem infotainment kini mempunyai skrin sebesar 10 inci dan papan pemukanya yang dilengkapi dengan dua tona warna, sungguhpun begitu ia agak ‘low key’ dan tidak menyerlah.

PEMANDUAN

Terlanjur sudah menguji pandu trak, maka perlulah sesi ujian pemanduan lasak dilaksanakan. Sungguhpun kami tidak dibawa masuk ke hutan atau kawasan pendalaman, kami dibawa ke kawasan pantai tambak di sekitar pantai Klebang, Melaka. 

Menguji sistem bantuan pemanduannya yang terbaharu iaitu fungsi ‘Rough Terrain’, yang membolehkan pemandunya memilih  ketika dalam pacuan 2H, 4H atau 4L, mempertingkatkan cengkaman dengan kebolehan sistemnya menguruskan agihan kuasa secara terus. Sebagai contoh, adakalanya hanya satu daripada empat roda yang tidak berupaya memberikan cengkaman (akibat permukaan bumi pada roda tersebut), maka sistem ini dapat bertindak dengan memberikan lebih kuasa hanya pada satu roda tersebut sahaja. Begitu juga dalam keadaan dua atau tiga roda sahaja yang bergolongsor dan tidak dapat memberikan cengkaman yang baik. Maka, sistem ini akan bertindak untuk mengagihkan kuasa yang lebih kepada roda-roda tersebut.

Ternyata, sistem in dapat memudahkan lagi pemanduan dan keyakinan terutamanya terhadap pemandu-pemandu baharu yang belum lagi arif tentang pemanduan ‘off road’. Ia dipermudahkan dengan hanya menekan suis dan selebihnya dibantu oleh sistem ini.

Kelengkapan penuh ciri Advance Driver Assistance Systems (ADAS), dengan bantuan ciri kamera stereo baharu generasi keempat yang telah diperluaskan lagi pandangannya kepada 120°.  Kelengkapan terbaharu ini membolehkannya mengesan dan mengenal pasti jumlah objek yang lebih banyak termasuk pejalan kaki kanak-kanak serta memberikan tindak balas yang lebih tepat dan pantas.

KESIMPULAN

Isuzu nampaknya meningkatkan ciri-ciri kelengkapan trak mereka untuk memberikan lebih banyak kemudahan untuk para penggunanya. Tidak cukup puas dengan pencapaian jualan D-Max 2021 sebanyak 340,000 unit yang telah terjual diseluruh dunia, Isuzu menyasarkan peningkatan terhadap angka tersebut dengan memberi penambahan terhadap bantuan pemanduan elektroniknya.

Dalam pada itu, tidak mahu membuat perubahan terlalu drastik terhadap rekaan rupa bentuk fizikalnya, bagi membolehkan para pelanggan baharu berminat untuk memilikki Isuzu D-Max yang telah pun menarik perhatian mereka sebelum ini.

Harga bagi Isuzu D-Max 2024 ini bermula daripada RM98,949.20 untuk varian 1.9 liter ‘single cab’ (tanpa tempat duduk penumpang belakang), sementara varian flagship X-Terrain, dijual dengan harga RM 157,938.40 atas jalan tidak termasuk kos insurans, pendaftaran dan lain-lain.

Ternyata, pasaran kenderaan ‘pickup’ atau trak ini bakal menjadi lebih sengit dengan setiap jenama melengkapkan ciri-ciri bantuan pemanduan elektronik dan kini menjadi seperti kebiasaan, trak mempunyai kelengkapan yang hampir sama dengan kenderaan sedan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN