86 peratus pilih bekerja di pejabat tiga hari seminggu - Utusan Malaysia

86 peratus pilih bekerja di pejabat tiga hari seminggu

RAKYAT Malaysia terutama golongan muda lebih memilih bekerja secara fleksibel dengan hanya tiga hari bekerja di pejabat dalam seminggu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Data penyelidikan Randstad Workmonitor 2024 melaporkan sejumlah 86 peratus rakyat Malaysia bekerjaya memilih bekerja di pejabat hanya tiga hari sahaja dalam seminggu.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Randstad Workmonitor yang melibatkan sebanyak 517 responden terdiri daripada pekerja di negara ini, didapati sebanyak 39 peratus daripada jumlah tersebut sanggup meletak jawatan sekiranya dipaksa bekerja dengan lebih kerap di pejabat.

Hasil penyelidikan tersebut mengatakan, generasi muda memiliki peratusan tertinggi dengan hampir separuh daripada Gen Z (49 peratus) dan Milenial (47 peratus) menentang pengaturan kerja yang tidak fleksibel.

Berbanding enam bulan lalu, sejumlah 52 peratus rakyat Malaysia berkata majikan mereka menjangkakan mereka perlu bekerja lebih masa di pejabat.

Ekoran itu, Pengarah Negara di Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, fleksibiliti di tempat kerja harus merangkumi semua aspek, termasuk pengaturan kerja yang pelbagai yang menggalakkan ekuiti.

“Walaupun majikan tempatan menetapkan keperluan kehadiran pejabat yang lebih ketat, pemahaman yang saksama tentang fleksibiliti dan kepelbagaian, menyedari bahawa pengalaman pekerja melangkaui tempat dan masa mereka bekerja.” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, semasa pandemik Covid-19, ramai rakyat negara ini mendapati mereka boleh bekerja dengan lebih produktif dari rumah.

“Pekerja Malaysia berpendapat jika perlu bekerja di pejabat, mereka terpaksa menempuh perjalanan yang jauh ke tempat kerja.

“Mereka yang mencari pekerjaan sanggup menolak jawatan bergaji tinggi yang memerlukan kehadiran di pejabat setiap hari ekoran faktor yang memakan kos dan masa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Naeem, sebanyak 52 peratus rakyat Malaysia tidak akan menerima pekerjaan jika syarikat tidak proaktif dalam meningkatkan kepelbagaian dan ekuiti.

“Walaupun ekuiti, kepelbagaian dan kemasukan mungkin tidak selalu menjadi keutamaan apabila mencari pekerjaan baharu, ia telah menjadi semakin penting kepada pencari kerja moden,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN