SAYA merujuk kepada ruangan Forum Utusan Malaysia 8 April 2026 bertajuk “Benarkah bekerja dari rumah jimatkan kos”. Realitinya, kehidupan harian di Malaysia sangat bergantung kepada pergerakan menggunakan kenderaan.
Bangun pagi, naik kereta ke tempat kerja. Tengah hari, keluar makan dengan kereta. Petang, hantar anak tuisyen dengan kereta. Malam, singgah pasar raya pun dengan kereta. Tidak hairanlah apabila harga minyak naik, kesannya terasa hampir serta-merta.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 92 peratus isi rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta dan sekitar 78 peratus memiliki motosikal. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan keluarga mempunyai lebih daripada satu kenderaan bermotor.
Apabila setiap individu bergerak secara berasingan, penggunaan bahan api meningkat dengan cepat. Realiti ini menjelaskan mengapa sebenarnya sebarang usaha mengurangkan perjalanan, walaupun kecil, boleh memberi kesan.
Kita juga cenderung bergerak lebih jauh daripada yang perlu. Ramai yang tinggal di pinggir bandar tetapi bekerja di pusat bandar. Ada yang memandu 30 hingga 50 kilometer sehari hanya untuk berulang alik ke tempat kerja.
Jika perjalanan seperti ini dikurangkan walaupun satu hari seminggu, penjimatan petrol boleh menjadi signifikan. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan bahawa dengan bekerja dari rumah (BDR) sehari seminggu, ia boleh mengurangkan penggunaan minyak sehingga 170,000 tong sehari secara global.
Tetapi tidak semua orang boleh bekerja dari rumah. Jururawat, guru, pekerja kilang, penghantar makanan, pemandu lori, pekerja kedai, mereka tetap perlu bergerak. Jadi, perubahan yang lebih realistik ialah mengurangkan perjalanan yang tidak perlu, bukan hanya menggantikannya dengan BDR.
Contohnya, banyak mesyuarat yang sebenarnya boleh dibuat secara dalam talian. Semasa pandemik, kita sudah biasa melakukannya. Tetapi selepas keadaan kembali normal, kita kembali kepada mesyuarat fizikal walaupun pesertanya dari bangunan yang sama.
Mengurangkan satu mesyuarat fizikal seminggu mungkin nampak kecil, tetapi jika diamalkan oleh ribuan organisasi, kesannya besar.
Kerja hibrid juga boleh membantu. Tidak semua perlu bekerja dari rumah sepenuhnya. Satu atau dua hari seminggu sudah cukup untuk mengurangkan kesesakan dan penggunaan bahan api.
Kajian oleh Universiti Cornell menunjukkan bahawa kerja hibrid dua hingga empat hari seminggu boleh mengurangkan jejak karbon sekitar 11 hingga 29 peratus berbanding kerja sepenuh masa di pejabat.
Waktu kerja berperingkat juga boleh mengurangkan kesesakan. Jika sebahagian pekerja masuk lebih awal dan sebahagian lagi masuk lebih lewat, trafik puncak bakal berkurang. Trafik yang lancar menggunakan bahan api lebih sedikit berbanding trafik yang berhenti dan bergerak.
Intinya, krisis bahan api bukan hanya soal dasar kerajaan. Ia juga soal tabiat harian. BDR hanyalah satu contoh bagaimana perubahan kecil dalam pergerakan boleh memberi kesan. Tetapi perubahan sebenar berlaku apabila kita mula melihat semula setiap perjalanan yang kita lakukan.
Jika kita hanya bergantung pada BDR, kesannya mungkin terhad. Tetapi jika kita mengubah cara kita bergerak dan gaya hidup secara keseluruhan, kesannya lebih besar.
Kurangkanlah perjalanan yang tidak perlu, lebihkanlah perkongsian, utamakanlah fleksibiliti dan tambahkanlah kesedaran tentang penggunaan bahan api.
Krisis tenaga mungkin datang dan pergi. Tetapi cara kita bergerak tetap kekal. Dan mungkin, inilah masa terbaik untuk kita mengubahnya. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Perak










