Bekerja dari rumah: Bekerja lebih masa?

Bekerja dari rumah: Bekerja lebih masa?

MODEL kerja masa depan perlu dibangunkan berdasarkan kajian yang menyeluruh serta mengambil kira kepelbagaian keperluan organisasi dan pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April membuka lembaran baharu dalam landskap pekerjaan negara.

Namun di sebalik langkah progresif ini, timbul persoalan penting, sejauh manakah tenaga kerja di Malaysia benar-benar bersedia untuk mengamalkan norma kerja ini secara berterusan?

Dari sudut infrastruktur, Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang agak kukuh. Sistem seperti HRMIS bagi pendaftaran lokasi dan aplikasi SPOT-Me untuk pemantauan kehadiran secara geolokasi menunjukkan bahawa aspek teknikal sudah tersedia untuk menyokong pelaksanaan BDR.

Namun tanpa garis panduan yang jelas, ia berisiko menimbulkan pelbagai kesan negatif. Antaranya termasuk tekanan kerja, keletihan melampau dan gangguan terhadap keseimbangan kerja-kehidupan.

Ketidakjelasan waktu bekerja juga boleh menyebabkan pekerja bekerja melebihi had yang sepatutnya serta menjejaskan kesejahteraan mereka.

Aspek kesihatan turut tidak boleh dipandang ringan. Ketiadaan panduan ergonomik yang jelas boleh mendedahkan pekerja kepada risiko masalah kesihatan fizikal dan mental.

Oleh itu, kesedaran serta pematuhan terhadap garis panduan oleh semua pihak menjadi elemen penting dalam memastikan kelestarian amalan BDR.

Cabaran utama dalam pelaksanaan BDR ialah penilaian prestasi dan akauntabiliti pekerja. Peralihan daripada budaya kerja berasaskan kehadiran kepada berasaskan hasil sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan.

Kebimbangan ini termasuk kemungkinan penurunan produktiviti serta kesukaran untuk memantau prestasi pekerja.

Keadaan ini boleh mendorong kepada amalan pengurusan mikro secara digital yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan psikologi pekerja.

Dalam masa yang sama, pekerja juga berisiko berasa tertekan dan kurang dihargai sekiranya kepercayaan tidak diberikan sepenuhnya oleh organisasi.

Dari sudut teknologi pula, kestabilan jalur lebar, akses kepada platform persidangan video seperti Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams, serta tahap keselamatan siber merupakan elemen kritikal dalam memastikan kelancaran BDR.

Bagi pekerja yang bergantung kepada rangkaian selular, kos internet boleh menjadi beban tambahan sekiranya tidak disokong oleh majikan.

Tambahan pula, risiko keselamatan siber meningkat apabila pekerja menggunakan rangkaian awam yang tidak dilindungi. Oleh itu, majikan perlu memainkan peranan dengan menyediakan sokongan seperti rangkaian VPN, perisian keselamatan dan latihan berkaitan keselamatan siber.

Dalam konteks ergonomik, penyediaan ruang kerja yang selesa dan kondusif di rumah merupakan satu pelaburan penting untuk jangka panjang. Namun begitu, cabaran tetap wujud terutamanya bagi mereka yang tinggal di kediaman sempit atau mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.

Sehubungan itu, latihan dan kursus berkaitan BDR perlu diberikan secara menyeluruh kepada kedua-dua pihak, iaitu majikan dan pekerja. Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan dan produktiviti dapat dicapai secara seimbang.

Jelas bahawa tiada satu model kerja anjal yang sesuai untuk semua sektor dan industri. Model kerja masa depan perlu dibangunkan berdasarkan kajian yang menyeluruh serta mengambil kira kepelbagaian keperluan organisasi dan pekerja.

Kejayaan pelaksanaan BDR bukan hanya terletak pada teknologi atau dasar semata-mata, tetapi pada keupayaan semua pihak untuk menyesuaikan diri, membina kepercayaan dan mengutamakan kesejahteraan insan.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada kita boleh melaksanakan BDR, tetapi adakah kita benar-benar bersedia untuk menjadikannya satu budaya kerja yang lestari. – UTUSAN

NOOR ESZEREEN JUFERI
Seksyen Komunikasi Korporat
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN