Selangor pertimbang laksana bekerja dari rumah

Selangor pertimbang laksana bekerja dari rumah

AMIRUDN Shari pada majlis perasmian Puncak ALOP, Ampang hari ini.-UTUSAN /M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor mengarahkan Bahagian Perkhidmatan dan Sumber Manusia untuk menyediakan kerangka kerja bagi pelaksanaan bekerja dari rumah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah itu bertujuan mengurangkan tekanan terhadap penggunaan bahan api yang digunakan secara meluas oleh kerajaan dan rakyat.

Katanya, pelaksanaan langkah tersebut juga perlu mengambil kira keseimbangan antara usaha menjimatkan penggunaan bahan api dan mengekalkan tahap produktiviti perkhidmatan.

“Saya akan mendengar terlebih dahulu dua pembentangan penting dalam minggu ini sebelum kita membuat keputusan dalam mesyuarat MMKN yang akan datang.

“Walaupun keadaan belum sampai ke tahap krisis atau bencana bahan api seperti yang berlaku di beberapa negara jiran, kita perlu bersedia dengan mendapatkan data dan angka yang tepat.

“Dengan itu, kita dapat merancang program dan menyediakan pelan kerajaan yang lebih bersedia untuk menghadapi situasi tersebut,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Puncak Ampang Look Out Point (Puncak ALOP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, projek pembangunan semula bernilai RM25 juta berjaya menghidupkan kembali Puncak ALOP sebagai destinasi pelancongan eko baharu yang lebih moden, selamat dan tersusun.

Katanya, pembukaan semula lokasi ikonik itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan, khususnya di kawasan berpotensi seperti Hulu Langat.

“Pembukaan ini dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat melalui peluang perniagaan kepada peniaga kecil dan penjaja tempatan, selain merangsang ekosistem pelancongan sekitar.

“Ini merupakan satu lagi tarikan baharu dan melalui fasa yang dapat kita lihat secara rasmi hari ini, ia menyediakan tempat yang lebih teratur dan selamat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN