KLUANG: Pelaksanaan amalan bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam sejak 15 April lalu menyaksikan penjimatan perbelanjaan kerajaan sebanyak hampir RM2 juta melibatkan subsidi petrol RON95.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, hampir satu juta liter petrol bersubsidi dapat dijimatkan dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR susulan kenaikan harga bahan api berkenaan.
Beliau berkata, sehingga hari ini, seramai 20,136 penjawat awam telah terlibat dalam amalan BDR berbanding 15,452 pada hari pertama ia dijalankan.
“Mengikut kiraan, setiap penjawat awam yang melaksanakan BDR dapat menjimatkan kira-kira enam liter petrol sehari, ini menjadikan anggaran penjimatan sekitar 120,000 liter petrol dengan penjimatan subsidi sebanyak RM239,215.68.
“Walaupun angka berkenaan tidak besar tetapi saya lihat ia satu sumbangan yang signifikan buat negara. Sekarang ini, kita belum lihat impak pelaksanaan BDR yang sebenar, kemungkinan besar pada bulan Jun nanti kita akan mula rasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara Uzur, di Taman Ria, Sri Lalang, di sini hari ini.
Tambah Wan Ahmad Dahlan, setakat ini, pelaksanaan BDR tidak menjejaskan produktiviti mana-mana jabatan dan bahagian yang terlibat atau menjejaskan perkhidmatan kepada masyarakat susulan ia juga telah dilaksana di beberapa negara maju lain.
“Buat masa ini, BDR tidak dilaksanakan pada hari Isnin ketika kakitangan menerima tugasan mingguan dan Jumaat bagi penilaian produktiviti kerja dan indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
“Kita akan terus laksanakan inisiatif ini kerana kita tidak tahu bila konflik Asia Barat dengan kenaikan harga minyak akan berakhir serta impaknya kepada negara,” katanya sambil mengingatkan penjawat awam agar melakukan perbelanjaan secara berhemah.
Sementara itu, pada program tersebut, Wan Ahmad Dahlan menziarah rumah tiga pesara uzur termasuk bekas juru x-ray di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Md. Suli Daud, 70, yang lumpuh dan terlantar akibat komplikasi pembedahan pendarahan di otak.
“Pesakit ini menerima sumbangan barangan keperluan harian dan katil khas untuk pesakit terlantar. Dua lagi pesara yang juga bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menerima sumbangan bakul makanan dan kerusi roda elektrik,” katanya lanjut. – UTUSAN










