Pulau Pinang tidak bentang belanjawan tambahan

Pulau Pinang tidak bentang belanjawan tambahan

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Penamaan Semula Persiaran Pantai Sinaran Kepada Persiaran Chin Fung Kee di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kedudukan kewangan Pulau Pinang ketika ini masih stabil dan tidak memerlukan pembentangan belanjawan tambahan walaupun negara sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi serta peningkatan kos.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, konsep berjimat lebih menjurus kepada kawalan perbelanjaan supaya tidak berlaku pembaziran serta memastikan defisit dapat dikurangkan atau ditukar kepada lebihan.

“Kalau jimat maka, tidak perlu bentang semula bajet (belanjawan). Belanja lebih itu yang perlu dibimbangkan. Tapi, setakat ini kami masih dalam keadaan lebihan (surplus).

“Kedudukan kewangan negeri ketika ini masih ‘sihat’ dan tidak perlu ada belanjawan tambahan sekiranya kos dapat dikawal dan hasil dapat dikutip seperti diramalkan,” katanya selepas merasmikan penamaan semula Jalan Persiaran Pantai Sinaran kepada Persiaran Chin Fung Kee di sini, hari ini.

Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan diarahkan supaya berjimat cermat dengan berbelanja secara sederhana sebagai langkah mengurangkan tekanan kewangan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha mengawal kos serta memastikan perbelanjaan dilaksanakan secara berhemah.

Beliau berkata, oleh itu, beberapa projek yang belum ditawarkan mungkin akan dijadualkan semula sebagai langkah menyesuaikan keadaan ekonomi semasa.

Sementara itu katanya, paras air Sungai Muda di Pulau Pinang kini telah melepasi tahap kritikal apabila menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa hari lalu.

Menurut Kon Yeow, bacaan terkini menunjukkan paras air sungai tersebut kini berada pada tahap 1.64 meter, iaitu melebihi paras kritikal 1.5 meter.

“Walaupun sebelum ini paras air menunjukkan penurunan mendadak, namun, trend semasa kembali meningkat dan kini telah melepasi paras kritikal. Bacaan pada 28 April adalah 1.56 meter, meningkat kepada 1.60 meter pada 29 April dan hari ini mencecah 1.64 meter,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN