KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan bayaran hasil 40 peratus bagi tahun 2022 hingga 2025 serta tahun semasa perlu dilaksanakan segera mengikut formula asal dalam Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pendirian pihaknya kekal bahawa formula di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan sepenuhnya.
“Kerajaan Sabah tidak pernah berkompromi dan bayaran interim yang diterima ketika ini adalah tanpa prejudis terhadap hak negeri untuk menuntut bayaran sebenar berdasarkan formula 40 peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Beliau berkata, susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 April lalu, kerajaan negeri menegaskan penangguhan hanya melibatkan tuntutan ‘tahun-tahun yang hilang’, manakala bayaran bagi tempoh 2022 hingga 2025 serta tahun semasa perlu disegerakan.
Menurutnya, walaupun Pemberian Khas diterima masih rendah berbanding jumlah sebenar, bayaran interim menunjukkan peningkatan daripada RM26.7 juta setahun sebelum ini kepada RM125 juta (2022), RM300 juta (2023), RM306 juta (2024) dan RM600 juta pada tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu merupakan hasil rundingan berterusan kerajaan negeri, namun ia bukan jumlah mutlak yang sepatutnya diterima Sabah.
“Bayaran interim ini hanya bersifat sementara dan tidak menggantikan hak Sabah untuk menuntut jumlah sebenar termasuk ‘lost years’,” katanya.
Mengulas lanjut, Masidi berkata jawatankuasa bersama antara kerajaan Persekutuan dan Sabah ditubuhkan sejak November tahun lalu bagi memperincikan kaedah pengiraan serta pengesahan data hasil.
“Kerajaan Sabah akan terus mendesak tindakan segera bagi memastikan hak negeri dilaksanakan sepenuhnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










