KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah perlu memperkenalkan konsep cuti terapung bagi memberi fleksibiliti kepada penduduk negeri ini memilih hari kelepasan yang lebih bermakna mengikut keperluan budaya dan peribadi masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata pengenalan satu atau dua hari cuti terapung setahun itu bukan sekadar satu dasar, sebaliknya berbentuk pengiktirafan terhadap kepelbagaian etnik dan budaya yang menjadi nadi keharmonian di Sabah.
“Sabah bukan wilayah satu wajah. Kita adalah kisah yang pelbagai dan harmoni.
“Hakikatnya, tidak semua hari kelepasan hari ini bermakna kepada semua orang.
“Mengapa kita tidak memberi rakyat kita satu hak yang sangat asas iaitu hak untuk memilih hari yang paling bermakna dalam hidup mereka,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau memberi contoh situasi di mana pekerja, terutamanya dari luar bandar seperti Tamparuli sering berdepan dilema untuk memilih antara tuntutan kerja atau pulang menyambut perayaan tradisi seperti Tadau Kaamatan bersama keluarga.
Mengenai kebimbangan terhadap aspek produktiviti, Madius berkata, fleksibiliti yang diurus dengan sistematik tidak akan menjejaskan operasi, sebaliknya mampu meningkatkan kesetiaan dan motivasi pekerja.
“Pengurusan fleksibiliti yang baik bukan melemahkan sistem, sebaliknya menguatkannya.
“Pekerja yang dihargai akan memberi lebih, manakala pekerja yang didengari akan lebih setia kepada organisasi.
“Dengan garis panduan jelas seperti permohonan awal dan had satu atau dua hari sahaja, kita mampu mengekalkan produktiviti sambil menjaga kebajikan jiwa rakyat,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu akan meletakkan Sabah sebagai sebuah wilayah progresif dalam menyesuaikan dunia pekerjaan dengan realiti moden dan inklusif.
Madius menyatakan sokongan penuh terhadap RUU itu, namun penambahbaikan melalui konsep cuti terapung itu akan menjadikan undang-undang berkenaan lebih “manusiawi” dan adil bagi seluruh lapisan rakyat Sabah. – UTUSAN










