ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar perkhidmatan awam khususnya sistem transit rel disegerakan pelaksanaannya sebagai
persediaan menghadapi peningkatan jumlah pergerakan rakyat di ibu negeri ini.
Baginda bertitah, sistem transit rel tersebut perlu diintegrasikan dengan perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura yang akan mula beroperasi pada Januari tahun depan.
“Saya ingin tegaskan sistem transit rel di Johor Bahru perlu diintegrasikan dengan RTS Link bagi menjadikan ketersambungan lancar sekaligus mengurangkan kesesakan trafik, ini
memerlukan perhatian dan sokongan serius daripada kerajaan persekutuan.
“Ia merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan kesiapsiagaan Johor menghadapi peningkatan pergerakan rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Baginda turut berharap bahawa gesaan itu mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia dengan sewajarnya.
“Saya berharap segala pertimbangan dan ketelusan yang diperlukan dapat dipercepat demi memastikan sistem pengangkutan awam di Johor benar-benar mampu menyokong pertubuha ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor,” titahnya.
Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata kerajaan negeri
berharap projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dimulakan dengan pelaksanaan di jajaran penting terlebih dahulu jika projek itu mendapat kelulusan.
Beliau dilaporkan berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan ART disegerakan bertujuan menyuraikan lalu lintas di kawasan terlibat seiring pengoperasian RTS Link
“Kawasan Tebrau paling sesak, kita mungkin boleh utamakan dahulu jajaran ini, dan seterusnya fokus ke jajaran yang lain. Sebagai contoh, jika jajarannya melibatkan laluan 20 kilometer, kita boleh buat secara pakej dan kontraktor boleh bekerjasama mempercepat pembinaan.
“Kerajaan negeri mencadangkan tiga jajaran iaitu Tebrau, Skudai dan Iskandar Puteri selain mempertimbang untuk menambah jajaran di Pasir Gudang,” katanya. – UTUSAN










