KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan kepentingan negeri sentiasa terpelihara dan diutamakan dalam setiap rundingan berkaitan persempadanan negara, khususnya melibatkan Malaysia dan Indonesia di Pulau Sebatik.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerajaan negeri dilibatkan secara konsisten dalam semua peringkat rundingan teknikal dan diplomatik bagi memastikan hak Sabah tidak terjejas.
Menurutnya, penglibatan itu membabitkan wakil Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah serta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Bagi memastikan kepentingan negeri sentiasa terpelihara dan diutamakan, kerajaan negeri Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Joniston menjelaskan berdasarkan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan, sebarang perubahan sempadan negeri tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan DUN, sekali gus menjamin kedudukan Sabah dalam sebarang keputusan.
Mengulas lanjut, beliau berkata sempadan darat Pulau Sebatik dimuktamadkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) No. 23 pada 18 Februari 2025 antara Malaysia dan Indonesia.
Katanya, dakwaan kononnya 100 hektar tanah diserah kepada Indonesia tidak melibatkan penyerahan kedaulatan, sebaliknya pematuhan terhadap perjanjian antarabangsa.
Tambah beliau, hasil penyelarasan semula persempadanan di Pulau Sebatik bersama kawasan Sungai Sinapad dan Sungai Sesai menyaksikan Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar.
“Keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa tanpa melibatkan pampasan atau pertimbangan untung rugi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan rundingan sempadan Malaysia–Indonesia masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, khususnya melibatkan kawasan intertidal di timur Pulau Sebatik sepanjang 870 meter ke arah laut serta empat kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) di sektor Sarawak–Kalimantan Barat.
“Rundingan antara Malaysia dan Indonesia masih berjalan bagi menyelesaikan kawasan terbabit,” katanya. – UTUSAN










