KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai tarikan pelaburan dalam sektor pembuatan, meskipun pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) perlahan kepada 5.4 peratus pada 2023, berbanding 12.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Ketua Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi berkata, kelembapan dalam pertumbuhan kedudukan FDI Malaysia adalah sejajar dengan trend FDI di rantau ASEAN untuk 2023.
Menurutnya, walaupun menjadi enjin biasa aliran FDI, rantau ASEAN mengalami penurunan FDI sebanyak 16 peratus pada tahun lalu.
“Namun, sektor pembuatan terus menjadi tarikan utama bagi pelaburan dalam di rantau ASEAN termasuk Malaysia.
“Aliran masuk pelaburan ke ASEAN meningkat sebanyak 43 peratus sekali gus menyumbang 40 peratus daripada jumlah FDI hijau dalam Projek Perangsang Ekonomi (EAP) untuk 2023.
“Malaysia yang merupakan penerima FDI hijau kedua terbesar di rantau ini selepas Indonesia, mengalami peningkatan pelaburan sebanyak 37 peratus kepada AS$29.5 bilion, termasuk pelaburan sebanyak AS$10 bilion oleh Zhejiang Geely Holding Group China dalam sektor automobil Malaysia untuk menubuhkan hab pembuatan auto,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai pembentangan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya, Malaysia merekodkan aliran masuk FDI bersih sebanyak RM 39.5 bilion untuk 2023, terutamanya disalurkan melalui rantau EAP.
Jelasnya, FDI yang disalurkan melalui Singapura dan China, masing-masing menyumbang kepada 55.7 peratus dan 39.2 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI bersih Malaysia.
Sehubungan itu, ujarnya, sektor perkhidmatan merupakan penerima utama yang menerima sebanyak 94 peratus daripada aliran masuk FDI bersih.
“Sebahagian penerima dalam sektor tersebut ialah dalam perkhidmatan kewangan, yang menerima 36.5 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI bersih, diikuti sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) (23.6 peratus) dan sektor penjagaan kesihatan (15 peratus),” kata beliau. – UTUSAN










