SEKTOR pembuatan Malaysia kekal kukuh disokong oleh pengeluaran yang berterusan dan permintaan luar yang tinggi meskipun berhadapan ketidaktentuan geopolitik terkini.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, nilai ditambah sektor pembuatan berkembang sebanyak 6.6 peratus pada separuh pertama 2026, dipacu peningkatan aktiviti dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Katanya, prestasi itu seiring dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 22.4 peratus kepada RM1,795.2 bilion, disokong kenaikan eksport sebanyak 27.5 peratus dan import sebanyak 16.8 peratus.
“Perkembangan tersebut menunjukkan permintaan luar yang kukuh terhadap produk keluaran Malaysia.
“Walau bagaimanapun, sumber pertumbuhan dan pendedahan luaran antara industri berorientasikan eksport dengan industri berorientasikan domestik adalah berbeza.
“Industri berorientasikan eksport khususnya E&E serta produk petroleum dan kimia terus memacu pertumbuhan disokong oleh permintaan luar yang berterusan.
“Industri E&E meraih manfaat daripada pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI) dan aktiviti berintensifkan teknologi yang lain seterusnya menyokong permintaan terhadap semikonduktor dan komponen elektronik.
Tinjauan itu berkata, sungguhpun demikian, industri berorientasikan eksport mungkin terjejas akibat gangguan terhadap permintaan dan aktiviti perkapalan.
“Sebaliknya, industri berorientasikan domestik termasuk pemprosesan makanan, produk logam yang direka dan kelengkapan pengangkutan kurang terjejas oleh perubahan permintaan luar, namun masih berkemungkinan menghadapi isu kekurangan input dan peningkatan kos pengeluaran.
“Kesan risiko tersebut terhadap pengeluaran bergantung kepada fleksibiliti firma mendapatkan bekalan, kecukupan inventori dan ketersediaan bahan pengganti bagi input kritikal.
“Pengeluaran akan lebih berisiko untuk terjejas apabila input khusus mempunyai pilihan pengganti yang terhad kerana gangguan sementara boleh menghentikan operasi dan mengganggu firma lain yang bergantung pada output yang terjejas.
“Kesalinghubungan tersebut boleh menyebabkan kejutan luaran ketara dan mengakibatkan gangguan rantaian bekalan yang lebih luas merentas ekosistem pembuatan di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, gangguan terhadap bekalan tenaga, laluan perkapalan dan input kritikal pula boleh merebak dengan pantas merentas industri pembuatan Malaysia yang saling berkait.
“Kekurangan input seperti bahan mentah petrokimia, bahan kimia khusus, logam dan bahan pembungkusan akan meningkatkan kos serta mengehadkan pengeluaran dalam industri hiliran termasuk plastik, getah, E&E dan pemprosesan makanan.
“Tinjauan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh pengilang dengan 74 peratus responden melaporkan peningkatan kos pengeluaran antara 10 peratus hingga 50 peratus berbanding sebelum konflik.
“Sebanyak 58 peratus responden pula menyatakan bahawa firma beroperasi pada atau di bawah takat pulang modal bagi rangkaian produk yang terjejas.
“Firma mungkin dapat menyerap sebahagian daripada kenaikan kos pada peringkat awal berikutan ruang perubahan harga yang terhad,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun, gangguan yang berpanjangan akan menyebabkan firma terpaksa memindahkan kenaikan kos kepada pengguna sekali gus meningkatkan harga, menjejaskan daya saing eksport dan menangguhkan pelaburan. – UTUSAN











