Sektor pembuatan dijangka berkembang 6.2 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Sektor pembuatan dijangka berkembang 6.2 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKTOR pembuatan diunjurkan mencatat pertumbuhan sebanyak 6.2 peratus pada 2026 dengan pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus pada separuh kedua tahun ini, menurut Tinjauan Ekonomi 2027.

Pertumbuhan separuh kedua itu berikutan normalisasi aktiviti eksport yang dilakukan lebih awal serta pengeluaran minyak mentah dan kondensat domestik yang rendah.

Katanya, kenaikan harga minyak susulan konflik Asia Barat turut menyumbang kepada pertumbuhan sederhana sektor berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Segmen elektrik dan elektronik (E&E) kekal memacu industri berorientasikan eksport berikutan permintaan berterusan terhadap semikonduktor serta komponen elektronik berkaitan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan kitaran menaik teknologi global.

“Sementara itu, industri berorientasikan domestik dijangka mendapat manfaat daripada permintaan berkaitan pengguna dan pembinaan. Peningkatan aktiviti pelancongan sempena VM2026-2027 dan perbelanjaan isi rumah yang stabil terus menyumbang kepada permintaan terhadap subsektor makanan dan minuman.

“Di samping itu, pembangunan pusat data, infrastruktur dan projek berkaitan tenaga turut memacu peningkatan permintaan terhadap bahan binaan,” katanya.

Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang berterusan turut dijangka meningkatkan daya saing sektor pembuatan.

“Ia menerusi pengukuhan kluster industri dan keupayaan pengeluaran seiring dengan penggunaan teknologi digital dan automasi yang lebih meluas.

“Selaras dengan hala tuju dasar tersebut, syarikat tempatan telah memperluas keupayaan mereka bentuk cip termaju tempatan dan membangunkan produk semikonduktor bernilai tambah lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor global,” katanya.

Mengulas mengenai pretasi pada separuh pertama, jelasnya, sektor pembuatan berkembang sebanyak 6.6 peratus dipacu pertumbuhan industri berorientasikan eksport dan domestik.

“Industri berorientasikan eksport yang merangkumi 76.4 peratus daripada sektor pembuatan mencatat pertumbuhan sebanyak 7.5 peratus, terutama didorong oleh segmen E&E.

“Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan berterusan terhadap semikonduktor dan komponen elektronik sejajar dengan penggunaan aplikasi AI serta pembangunan infrastruktur digital global yang meluas.

“Subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik turut menyokong pertumbuhan industri berorientasikan eksport.

“Sementara itu, industri berorientasikan domestik berkembang sebanyak 4.7 peratus disokong oleh pemulihan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan khususnya dalam pengeluaran kenderaan bermotor serta komponen dan aksesori berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini