PETALING JAYA: Wasiyyah Shoppe Berhad berjaya memperoleh perintah pengesahan hibah pertama untuk dokumen hibah digital pelanggannya yang disediakan melalui aplikasi mudah alihnya, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) dari Mahkamah Syariah Johor, semalam.
UsraHDD adalah sistem aplikasi mudah alih pelaksanaan akad hibah digital melalui telefon bimbit tanpa kertas pertama di dunia, merupakan sistem inovatif yang dibangunkan oleh kepakaran dalaman Wasiyyah Shoppe Berhad yang diluncurkan pada Mac 2023.
Melalui sistem ini, pemberi dan penerima hibah boleh berakad secara digital melalui telefon bimbit mereka pada masa sebenar bila-bila masa dan boleh dibuat di mana-mana sahaja lokasi seluruh dunia.
Dokumen hibah beserta syaratnya yang telah sempurna diakadkan akan disimpan di sistem awan dan boleh dicapai oleh pemberi dan penerima hibah pada bila-bila masa yang mereka perlukan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, aplikasi mudah alih ini dicipta sepenuhnya oleh pakar teknologi anak tempatan dalaman Wasiyyah Shoppe Berhad dan teknologi yang pertama seumpamanya di dunia.
Ujarnya, sejak pandemik Covid-19 melanda dunia yang menyebabkan kekangan kepada pergerakan fizikal, Wasiyyah Shoppe Berhad telah membangunkan pelbagai kaedah atas talian untuk memudahkan pelanggannya berakad hibah tanpa perlu bertemu secara fizikal.
“Secara tradisional dokumen hibah perlu ditandatangani secara fizikal dan semua pemberi dan penerima hibah perlu berkumpul untuk majlis akad hibah.
“Namun ketika Malaysia di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kaedah ini tidak boleh dilaksanakan, jadi kami telah berinovasi dan meluncurkan kaedah hibah melalui televideo pertama di Malaysia dan ini memudahkan pelanggannya berakad hibah tanpa perlu bertemu secara fizikal,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kaedah ini juga telah mendapat pengesahan hibah dari Mahkamah Syariah Selangor pada 27 Julai 2023.
“Walaupun kami telah berjaya membantu pelanggan melalui kaedah televideo, namun kami dapati kaedah ini masih tidak cekap dan memakan masa kerana gangguan talian internet akan menyebabkan proses akad hibah itu tergendala dan terpaksa diulang semula.
“Oleh itu, kami terus berinovasi mencari kaedah lebih baik dan selepas hampir dua tahun, usaha itu berjaya dengan pengenalan aplikasi mudah alih UsraHdd,” katanya.
Di dalam proses pembangunan sistem ini, Wasiyyah Shoppe Berhad telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengadakan sesi libat urus aktif dengan pelbagai pihak bertanggungjawab, pakar undang-undang syariah dan sivil serta ilmuwan agama yang berpengalaman.
Tambah Ariffin, strategi ini diambil bagi memastikan segala sistem yang dibangunkan bukan sahaja bersifat inovatif dan memudahkan malah juga patuh syariah sepenuhnya dan boleh berkuat kuasa mengikut undang-undang semasa.
“Perintah pengesahan hibah yang kami perolehi untuk dokumen hibah melalui UsraHDD ini membuktikan bahawa Mahkamah Syariah mengiktiraf dokumen hibah digital dan kami berbangga menjadi pelopor kepada kaedah digital ini di Malaysia,” ujarnya.
Ariffin juga menambah bahawa kejayaan ini membuka peluang besar kepada Wasiyyah Shoppe Berhad untuk meneroka kerjasama pasaran institusi kewangan di pasaran domestik dan antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.
Wasiyyah Shoppe Berhad menjangkakan seramai 20,000 orang pelanggan akan menggunakan aplikasi mudah alih UsraHDDnya pada tahun kewangan 2024/2025 dengan nilai transaksi mencecah RM40 juta. – UTUSAN










