KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Sivil terhadap keabsahan kontrak hibah takaful baru-baru ini tular dan menarik perhatian masyarakat. Ramai bertanya betul atau tidak hibah takaful boleh dicabar hingga mereka yang telah menyediakan hibah harta selain takaful pun turut sama bimbang akan status hibah mereka.
Industri takaful telah berkembang pesat hinggakan hampir menjadi suatu kemestian bagi ibu bapa menyertai skim-skim takaful sebagai perlindungan kewangan masa depan.
Takaful di Malaysia dikawal selia oleh Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013) yang menetapkan syarikat takaful perlu melaksanakan operasinya sebagaimana ketetapan APKI 2013 dan panduan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia.
Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
Seksyen 2 (1) Jadual 10 APKI 2013 menyatakan pemegang polisi diberikan pilihan untuk mengagihkan manfaat yang diterima dari polisi takaful akibat kematiannya dalam tempoh sah polisi tersebut kepada individu yang ditentukannya sama ada terhad sebagai pentadbir atau sebagai penerima manfaat melalui hibah.
Jika sebagai pentadbir, dia perlu membahagikan manfaat itu mengikut hukum faraid dan jika ia adalah penerima hibah maka adalah layak untuk penerima itu mengambil manfaat takaful tersebut tanpa perlu pula mengagihkannya mengikut kepada ahli waris lain.
Berdasarkan peruntukan tersebut hibah bersyarat merupakan suatu instrumen patuh syariah yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diaplikasikan dalam produk takaful yang jika diaplikasikan dengan betul maka manfaat takaful ini tidak lagi perlu diagihkan kepada ahli waris lain berdasarkan hukum faraid.
Apabila berlakunya kematian peserta takaful maka manfaat takaful tersebut akan sepenuhnya menjadi hak mutlak anak yang dinamakan dan harta ini tidak lagi perlu diagihkan kepada ahli waris lain berdasarkan hukum faraid.
Wewenang MPS Bank Negara Malaysia
Apakah peranan MPS Bank Negara Malaysia dalam takaful? MPS BNM telah ditubuhkan melalui Seksyen 51, Akta Bank Negara Malaysia 2009.
MPS BNM merupakan pihak berkuasa bagi penentuan hukum syariah bagi maksud perniagaan kewangan Islam yang mana takaful adalah sebahagian daripadanya.
MPS BNM juga bertanggungjawab bagi mengesahkan semua produk perbankan Islam dan takaful untuk memastikan kepatuhan produk tersebut dengan prinsip syariah.
Mengikat Mahkamah
Mengikut Seksyen 57 dan 58 Akta Bank Negara, keputusan MPS BNM hendaklah dilaksanakan dalam operasi takaful di Malaysia.
Mahkamah yang berbidang kuasa iaitu mahkamah sivil dikehendaki untuk merujuk dan memberikan pengiktirafan kehakiman kepada keputusan MPS BNM bagi mana-mana prosiding berkaitan perniagaan kewangan Islam.
Kuasa MPS Bank Negara Malaysia melalui Seksyen 57 dan 58 Akta Bank Negara Malaysia 2009 tersebut dibincangkan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam kes JRI Resources Sdn. Bhd. lawan Kuwait Finance House (M) Berhad, (President of Association of Islamic Banking Malaysia (Pencelah) (2019) 3 MLJ 561.
Mahkamah Persekutuan dalam kes ini memutuskan bahawa keputusan MPS BNM adalah mengikat mahkamah.
Ketetapan MPS BNM
MPS BNM telah membuat ketetapan terhadap instrumen hibah bagi industri takaful. MPS BNM dalam membahaskan berkaitan status hibah takaful telah seawal mesyuarat ke-34 bertarikh 21 April 2003 dan mesyuarat ke-165 bertarikh 21 Januari 2016 memutuskan bahawa manfaat takaful boleh dihibahkan.
Memandangkan manfaat takaful adalah hak peserta takaful, maka peserta mempunyai kebebasan untuk menggunakan hak tersebut mengikut pilihannya selagi ia tidak bercanggah dengan syariah.
Keputusan MPS BNM ini telah membuka jalan kepada kebolehsaingan produk takaful dengan produk insurans konvensional.
Hibah takaful adalah sah walaupun terdapat ketidakpastian berdasarkan kaedah fiqh yang bermaksud ketidakpastian adalah dimaafkan dalam kontrak sukarela.
Bagaimanapun, peserta takaful masih lagi boleh membatalkan hibahnya tersebut memandangkan serahan manfaat masih belum disempurnakan semasa hibah bersyarat itu ditandatangani.
Kesimpulan
Soal hibah takaful itu boleh dicabar atau tidak di mahkamah, tentunya selagi ada mahkamah dan wujudnya peguam, maka kita tidak akan boleh menghalang apa jua produk kewangan Islam dicabar di mana-mana mahkamah.
Industri perbankan Islam selama ini menyaksikan bukan sedikit cabaran dibuat terhadap kontrak-kontrak patuh syariah yang digunakan malahan kontrak hibah bersyarat sebenarnya telah lama digunakan oleh sistem kewangan Islam selain takaful.
Apa yang penting, apabila datangnya cabaran bagi mempertikaikan keabsahan sesuatu kontrak, institusi kewangan Islam mempunyai hujahan yang jelas akan setiap produk yang diluluskan.
Jika tidak dijawab, maka kita perlu lega dengan keputusan yang tidak terduga.
Adalah jelas bahawa APKI 2013 telah menyediakan kaedah bagi penghibahan manfaat takaful yang diterima akibat berlakunya kematian dan kecacatan kekal peserta takaful kepada mana-mana individu.
Justeru, bayaran manfaat takaful yang telah dihibahkan atau diserahkan tersebut adalah terkeluar dari harta pusaka. – UTUSAN
DATUK ikbal salam ialah peguambela dan peguamcara.










