Hibah jalan keluar perebutan harta pusaka

Hibah jalan keluar perebutan harta pusaka

AHMAD Basri Ibrahim (kanan) menerima cenderamata daripada Dr. Nik Roskiman Abdul Samad selepas merasmikan Bengkel Hibah anjuran Permodalan Nasional Berhad dan Institut Kefahaman Islam Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. UTUSAN/MUHAMMAD RIDZWAN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendekatan hibah mampu menyelesaikan krisis kekeluargaan yang sering berlaku akibat perebutan harta pusaka, tanpa mengenepikan keadilan hukum faraid yang telah ditetapkan Allah SWT.

Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Dr. Ahmad Basri Ibrahim berkata, pembahagian harta pusaka perlu diuruskan sebaik-baiknya berlandaskan hukum syarak supaya tiada mereka yang mempunyai hak dinafikan haknya.

“Masih ramai yang tidak membuat perancangan harta secara sistemik sama ada kerana kurang pengetahuan atau kerana menganggap ia sebagai isu yang boleh ditangguhkan.

“Akibatnya, kita sering mendengar kisah perebutan harta pusaka, waris yang terabai dan harta yang tertumpuk bertahun-tahun lamanya.

“Islam telah menyediakan keadaan yang jelas dan adil untuk mengurus harta bukan sahaja selepas kematian tetapi juga semasa hidup,” katanya dalam Bengkel Hibah Sebagai Instrumen Perancangan Harta Keluarga Islam di Malaysia.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.

Bengkel itu anjuran PNB dan IKIM, bertujuan menyebarkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan hibah dari aspek hukum syarak. Ia disertai oleh 64 peserta daripada pelbagai latar belakang dan profesion.

Ahmad Basri berkata, ramai yang masih belum tahu perkhidmatan lain yang disediakan oleh PNB, iaitu Hibah Amanah dan juga Wakaf Unit Trust.

“Perkhidmatan Hibah Amanah ASNB ini telah diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2013 oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad.

“Hibah Amanah ini merupakan sebahagian daripada usaha PNB untuk menyediakan perkhidmatan perancangan dan pengurusan harta yang patuh syariah kepada semua pemegang unit beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, ia menggunakan pendekatan hibah dan kontrak amanah yang membolehkan pemindahan unit amanah kepada penerima hibah selepas kematian pemegang unit tanpa perlu melalui proses perundangan yang rumit.

Bengkel menampilkan empat sesi berkaitan hibah bermula dengan ‘Hibah: Hukum-Hakam’ yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Zamro Muda yang menekankan hibah sebagai cara mengagihkan harta untuk kasih sayang dan membantu yang memerlukan, termasuk isu keadilan pemberian kepada anak-anak.

Sesi kedua, ‘Hibah Amanah: Amalan di PNB’ oleh Ahmad Basri yang berkongsi pengalaman PNB dalam pemindahan unit amanah patuh syariah tanpa proses perundangan rumit.

Sesi ketiga, ‘Hibah Bersyarat’ dibentangkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam UKM, Datin Dr. Noor Lizza Mohamed Said membincangkan hibah mutlak dan bersyarat serta syarat yang dibenarkan syarak.

Sesi terakhir, ‘Dokumentasi Hibah’ oleh Peguam Syarie, Tuan Mohd. Faiz Adnan memberi panduan penyediaan dokumen sah dari segi syarak dan undang-undang.

Bengkel itu telah membuka ruang dialog dan perbincangan dalam memperkasakan pelaksanaan hibah di Malaysia dengan lebih teratur serta efisien. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN