KUALA LUMPUR: Sebanyak 84,384 kes harta pusaka kecil dengan nilai keseluruhan RM19.01 bilion berjaya diselesaikan sepanjang tahun 2025, manakala baki 46,707 kes masih belum selesai sehingga 31 Disember lalu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan pembahagian harta dapat diuruskan dengan berkesan.
Beliau menambah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) mensasarkan penyelesaian sepenuhnya baki tunggakan kes menjelang 2028.
“Secara dasarnya JKPTG menyasarkan tunggakan kes harta pusaka dapat dikurangkan menjelang dua tahun akan datang, iaitu 2028, dengan syarat tiada masalah atau pertikaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang memintanya menyatakan jumlah kes harta pusaka kecil yang masih belum selesai setakat ini serta punca utama berlaku kelewatan dan sasaran tempoh masa yang ditetapkan Kementerian untuk mengurangkan tunggakan tersebut.
Syed Ibrahim menjelaskan bahawa bagi permohonan yang lengkap dan tiada pertikaian, tempoh penyelesaian standar ditetapkan dalam masa empat bulan dari tarikh permohonan dibuat.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa sikap dan kerjasama waris merupakan antara punca utama kelewatan.
“Kelewatan tindakan waris untuk membuat tuntutan atas faktor kesibukan sehingga berlaku kematian berlapis menjadikan pembahagian harta pusaka bertambah rumit,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, perbalahan waris dan tiada kesepakatan mengenai siapa yang berhak mewarisi atau menguruskan harta si mati turut menjadi penghalang kepada penyelesaian kes.
Beliau menambah bahawa masalah dokumentasi tidak lengkap, kurang pengetahuan mengenai prosedur permohonan, keengganan waris hadir dalam perbicaraan serta kesukaran mengesan waris lain turut menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes harta pusaka kecil. – UTUSAN










