PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) menjalin Perkongsian Strategik 10 tahun bersama BAIC International Development Co. Ltd. (BAIC) untuk memartabatkan Malaysia sebagai hab utama pengeluaran automotif.
EPMB berkata, pihaknya melalui anak syarikat milik penuhnya, Peps-JV (Melaka) Sdn. Bhd. akan melaksanakan pemasangan dan pengeluaran kenderaan BAIC, menandakan satu langkah penting ke arah meningkatkan landskap automotif di Malaysia.
“Model awal yang dijadualkan untuk pengeluaran termasuk x55ii dan BJ40+, dengan barisan kenderaan elektrik (EV) yang dijadualkan untuk dilancarkan pada 2025,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, BAIC akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan serta bimbingan dan penyeliaan terhadap proses pemasangan dan pembuatan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
“BAIC akan bertanggungjawab ke atas penjualan dan pemasaran kenderaan untuk memaksimumkan penembusan pasaran dan keterlihatan jenama di Asean.
“EPMB pula bertindak sebagai pemasang kenderaan dan memastikan kenderaan BAIC dipasang dengan teliti untuk memenuhi standard kualiti dan prestasi tertinggi,” ujarnya.
EPMB menambah, perkongsian strategik itu turut menonjolkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan tenaga kerja mahir di Malaysia.
Katanya, kerjasama itu bertujuan memenuhi permintaan kenderaan BAIC berkualiti tinggi di rantau Asean dan sekaligus, memanfaatkan kemudahan tercanggih EPMB di Melaka dan teknologi dan kepakaran termaju BAIC.
Pakatan sinergistik itu menunjukkan gabungan kepakaran Malaysia dan China dengan peluang pertumbuhan bersama dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi penting aktiviti pengeluaran BAIC, memupuk pertumbuhan, penciptaan pekerjaan dan kemajuan teknologi. – UTUSAN







