Dua kontrak baharu EPMB akan beri aliran tunai positif - Utusan Malaysia

Dua kontrak baharu EPMB akan beri aliran tunai positif

Temubual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EP Manufacturing Bhd, Ahmad Razlan Mohamed di Kawasan Perindustrian Hicom Glenmarie. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: EP Manufacturing Berhad (EPMB) optimis terhadap dua kontrak yang dimeterai bersama Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn. Bhd. (GWM Malaysia) dan Beijing International Development Co. Limited (BAIC) akan memberikan aliran tunai yang positif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, EPMB yakin dengan inisitif terbarunya iaitu dua kontrak Perjanjian Pemasangan Kenderaan yang berjaya dimeterai akan mengukuhkan kedudukan Syarikat dalam jangka masa panjang.

“Dua kontrak itu adalah kontrak lapan tahun yang dimeterai dengan GWM Malaysia dan kontrak sepuluh tahun bersama BAIC,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Jelasnya EPMB menjangkakan aliran tunai Kumpulan itu akan positif dalam masa lima tahun berdasarkan pelaburan Kumpulan EPMB bagi dua kontrak pemasangan kenderaan itu.

“Kami turut menjangkakan pulangan pelaburan yang positif dalam masa lapan tahun, sekali gus jangkaan keuntungan Syarikat akan tercapai pada akhir tahun 2025,” katanya.

Tambah Ahmad Razlan, EPMB telah membuat perubahan secara huluan dalam aktiviti perniagaannya dalam pembuatan dan pengeluaran komponen yang berasaskan besi untuk industri otomotif berdasarkan pelan transformasinya.

Katanya, EPMB telah melancarkan satu fasiliti di Tanjong Malim, Perak khusus untuk pembuatan dan pemasangan kerusi kereta untuk model sedan Proton yang terbaru, S70.

“Komitmen kami kepada Proton untuk pengeluaran dan pemasangan kerusi Proton S70, dengan mensasarkan sejumlah 2,500 unit sebulan dari fasiliti kami di Tanjong Malim, Perak.

“Manakala, komitmen kepada GWM Malaysia dan BAIC pula untuk melancarkan fasiliti pemasangan kenderaan fasa pertama di Pegoh, Melaka dengan kapasiti maksimum sejumlah 6,000 unit setahun,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, EPMB juga akan memfokuskan kepada kos optimum untuk memperkukuhkan keyakinan pelanggan-pelanggan terhadap produk-produknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×