Malaysia Airlines, Google bekerjasama tingkat pelancongan

Malaysia Airlines, Google bekerjasama tingkat pelancongan melalui pendigitalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airlines menjalinkan kerjasama inovatif bersama Google bagi mempercepat usaha Malaysia sebagai destinasi pelancongan kelas pertama dan mendorong evolusi digital dalam sektor penerbangan.

Ketua Pegawai Komersial Malaysian Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama dinamik itu tonggak penting usaha Malaysia Airlines mendigitalisasi kemajuan komersialnya.

“Ia juga usaha merangsang pertumbuhan dan permintaan dari pasaran utama serta mengukuhkan komitmen menjadikan negara ini sebagai pusat utama bagi pelancong antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Malaysia Airlines bercadang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital terkini untuk meningkatkan operasinya, menyelaraskan proses untuk para pelancong.

“Kerjasama ini menggalakkan pertumbuhan dan inovasi berterusan dalam pelbagai domain produk penting.

“Ia termasuk Google Pay, Google Flights dan penyelesaian pemasaran bertenaga AI, sekali gus membolehkannya membentuk ekosistem holistik yang memberi keutamaan kepada pengalaman pelanggan dengan lancar,” katanya.

Dersenish berkata, Malaysia Airlines semangat memulakan perjalanan komersial yang transformatif itu bersama Google untuk memperkuat jangkauan dan kemampuannya dengan mengeksplorasi pasaran antarabangsa.

“Kami yakin boleh membuka peluang baharu, meningkatkan pengalaman perjalanan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pelancongan utama di rantau ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Google Malaysia, Pakistan dan Pasaran Sempadan, Farhan Qureshi berkata, pasaran pelancongan Malaysia bersedia untuk pertumbuhan yang signifikan dan berkomitmen menyokong Malaysia Airlines untuk memanfaatkan peluang ini.

“Kami sangat bersemangat untuk memulakan perjalanan ini dan meneroka apa yang boleh kita lakukan lebih banyak bersama tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN