33 kompleks beli-belah, 86 hotel baharu bakal dibina - Utusan Malaysia

33 kompleks beli-belah, 86 hotel baharu bakal dibina

KAKITANGAN Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Suhaidahani Zainon menunjukkan buku Laporan Pasaran Harta 2023 yang dilancarkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Perkembangan positif ekonomi Malaysia menyaksikan pelbagai bentuk hartanah komersial yang baharu akan dibina pemaju dalam masa terdekat di seluruh negara, menurut Laporan Pasaran Harta Tanah 2023 terbitan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut data inventori yang disediakan itu, sejumlah 33 buah kompleks beli-belah bakal dibangunkan dengan keluasan lantai keseluruhannya mencecah 1.13 juta meter persegi.

Agensi berkenaan merekodkan sebanyak 1,074 buah premis tersebut yang telah wujud di seluruh Malaysia dengan luas keseluruhan 17.69 juta meter persegi sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan data disiarkan portal rasminya, Selangor adalah paling tinggi dengan 94 buah diikuti Kuala Lumpur (86), Sarawak (74), Johor (70), Pulau Pinang (46) dan Sabah (37).

Sementara itu, JPPH menerusi inventori sama turut melaporkan sejumlah 86 hotel baharu akan dibina di negara ini dengan kapasiti bilik pelbagai gred keseluruhannya 18,140 buah.

Angka itu dijangka mampu menampung kedatangan ramai pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana ketika ini telah ada 3,538 hotel dengan 275,119 buah bilik.

Johor merekodkan hotel terbanyak iaitu 1,454 buah disusuli Sabah (1,245), Sarawak (1,149), Pahang (906), Kuala Lumpur (746), Terengganu (737) dan Pulau Pinang (720).

Sementara itu, Ketua Pengarah JPPH, Abdul Razak Yusak berucap pada sesi pelancaran Laporan Pasaran Harta 2023 berkata, pihaknya kini giat ke arah persekitaran lebih digital.

“Proses pembangunan semula sistem pangkalan data dipaparkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2026 kelak,” jelasnya.

Ujar beliau, ia bakal diintegrasi dengan agensi lain antaranya Sistem Bersepadu Perumahan Malaysia (HIMS) dan juga portal pusat sehenti Jabatan Kerajaan Tempatan.

Menerusi inisiatif itu, JPPH menjangkakan Sistem Maklumat Harta Tanah Malaysia (Prism) versi 2.0 yang bermula 2023 lalu akan menjadi satu pangkalan data yang lebih mampan.

Abdul Razak justeru optimis perkongsian data itu mampu dimanfaatkan masyarakat dan memberikan Napic keyakinan sebagai badan peneraju maklumat hartanah negara.

“Ini seiring dengan inisiatif kerajaan melalui pelaksanaan transaksi Data Terbuka Sektor Awam yang boleh dilayari percuma agar dijadikan petunjuk tepat dan cepat,” katanya.

Acara tersebut disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut melancarkan sembilan lagi laporan di Institut Penilaian Negara, di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN