Jualan hartanah 2023 hampir cecah RM200 bilion - Utusan Malaysia

Jualan hartanah 2023 hampir cecah RM200 bilion

DATUK Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) ketika melancarkan Laporan Pasaran Hartanah 2023 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Transaksi pasaran hartanah negara mencecah RM196.83 bilion pada 2023, nilai tertinggi pernah direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

Angka itu adalah peningkatan 9.9 peratus tahun ke tahun daripada paras tertinggi sepanjang masa sebelumnya iaitu RM179.07 bilion yang direkodkan pada 2022.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut mendedahkan bilangan transaksi harta tanah juga mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 2.5 peratus kepada 399,008 pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Momentum pasaran juga ujarnya, bahkan akan terus disokong melalui pelbagai inisiatif Belanjawan 2024 berkaitan isu rumah mampu milik dan pembiayaan kediaman pertama.

“Trend ini didorong peningkatan nilai transaksi di kesemua subsektor dengan paling tinggi ialah komersial sebanyak 17.5 peratus dan perindustrian iaitu 13.1 peratus.

“Sementara bagi sektor kediaman pula didapati telah melonjak 7.1 peratus, pertanian (4.6 peratus) serta tanah pembangunan dan lain-lain ialah 13.8 peratus.

“Prestasi lebih rancak ujarnya, turut direkodkan bagi pelancaran kediaman baharu iaitu naik 4.4 peratus kepada 56,526 unit dengan prestasi jualan pula menokok 40.4 peratus,” katanya dalam ucapan pelancaran Laporan Pasaran Harta 2023, di sini semalam.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, rumah siap tidak terjual atau overhang memperlihatkan trend penyusutan 7.0 peratus iaitu hanya 25,816 unit dengan nilai RM17.68 bilion berbanding hampir 28,000 unit bernilai RM18.41 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada masa sama kata Amir Hamzah, Indeks Harga Rumah Malaysia tahun lalu berada kira-kira 216.5 mata atau RM467,144 seunit dengan pertumbuhan sederhana 3.2 peratus.

Semua negeri jelasnya, masing-masing mencatatkan prestasi tahunan positif dengan didahului Johor iaitu 6.2 peratus, Pulau Pinang (3.8 peratus) dan Selangor (2.9 peratus).

“Prestasi kompleks perniagaan pula, kekal sederhana apabila kadar penghunian didapati bertambah kepada 77.4 peratus berbanding 75.4 peratus pada 2022,” tambah beliau.

Secara umum, beliau menjangkakan sektor harta tanah negara sepanjang tahun ini akan meneruskan momentum pemulihan sekali pun berdepan cabaran sengit ekonomi global.

Namun, beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan tetap menyediakan pelbagai suntikan berterusan untuk memastikan pembangunan sektor itu kekal positif.

Langkah ini ujarnya, termasuk meneruskan agenda pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah melalui peruntukan keseluruhan RM2.47 bilion.

Selain itu kata Amir Hamzah, kerajaan juga menyediakan dana baik pulih rumah daif penduduk miskin, penyelenggaraan flat kos rendah dan pewujudan skim perumahan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN