Nilai transaksi hartanah warga asing cecah RM1.9b

Nilai transaksi hartanah warga asing cecah RM1.9b

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jual beli rumah oleh warga negara asing dalam pasaran hartanah di Malaysia kini mencecah RM1.9 bilion membabitkan 913 transaksi pada separuh tahun pertama 2025.

Bagaimanapun, jumlah itu hanya mewakili 3.8 peratus daripada nilai keseluruhan transaksi berbanding jumlah bilangan transaksi jual beli oleh warganegara iaitu 119,394 dengan nilaian RM47.47 bilion.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen berkata, berdasarkan Laporan Transaksi Harta Tanah Kediaman Mengikut Negeri dan Kumpulan Etnik, Malaysia bagi Separuh Tahun Pertama (H1) Tahun 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan pasaran hartanah tempatan masih dikuasai pembeli domestik.

Katanya, berdasarkan laporan tersebut warga negara China mencatatkan jumlah transaksi jual beli hartanah tertinggi di Malaysia iaitu membabitkan 329 transaksi dengan nilai RM834.65 juta.

“Ia diikuti oleh Singapura dengan 320 transaksi bernilai RM518.27 juta; India dengan 47 transaksi (RM87.16 juta); United Kingdom dengan 20 transaksi (RM40.26 juta); Indonesia dengan 20 transaksi (RM24.86 juta); Hong Kong dengan 15 transaksi (RM30.27 juta); Amerika Syarikat dengan 14 transaksi (RM41.11 juta); Korea Selatan dengan 13 transaksi (RM27.67 juta); Taiwan dengan 12 transaksi (RM20.34 juta) dan Australia dengan 10 transaksi (RM25.27 juta),” katanya.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (PN – Maran) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah warga asing yang memiliki rumah di seluruh negara dan menyatakan 10 negara tertinggi serta syarat utama pemilikan hartanah di Malaysia.

Menurut KPKT, melalui Belanjawan 2026, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti setem ke atas pindah milik hartanah kediaman oleh warganegara asing dan syarikat milik asing kepada kadar rata lapan peratus, berbanding empat peratus sebelum ini.

Katanya, langkah itu akan meningkatkan kutipan hasil kerajaan daripada bayaran duti setem pelaksanaan pindah milik kediaman.

“Usaha proaktif ini adalah bagi mengawal pasaran hartanah dan memastikan akses pemilikan rumah kekal mampu milik bagi rakyat tempatan tanpa menjejaskan daya tarikan pelaburan asing secara ketara.

“Pendekatan ini juga menunjukkan keseimbangan antara reformasi pasaran hartanah dan keperluan sosial untuk memastikan pemilikan rumah kekal dalam jangkauan rakyat Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, dasar pemilikan hartanah warga asing adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan penetapan bagi penjualan kepada warganegara atau warga asing seperti juga kuota bumiputera atau harga jualan kepada warga asing juga di di bawah kuasa mereka.

Namun, katanya, KPKT bersedia untuk berkerjasama dengan kerajaan negeri khususnya dalam bidang perumahan agar manfaat dapat dinikmati oleh rakyat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN