SUBANG JAYA: Operasi pembersihan besar-besaran di Kampung Kuala Sungai Baru di sini akhirnya bermula semalam selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa susulan keadaan kawasan perumahan yang tidak tersusun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, struktur pembangunan Kampung Kuala Sungai Baru yang kurang terancang merupakan punca utama kerja-kerja pembersihan terpaksa ditangguhkan dan memerlukan tenaga kerja lebih ramai berbanding di Putra Heights.
“Kawasan Kampung Kuala Sungai Baru dibangunkan bukan dengan kaedah perumahan yang tersusun berbanding di Putra Heights atau Putra Harmoni yang memang perumahannya tersusun dengan standard yang mengikuti ketetapan keselamatan,” katanya ketika merasmikan Op Mega Pembersihan, semalam.
Tambah Amirudin, fokus utama operasi pembersihan tertumpu di Kampung Kuala Sungai Baru setelah kawasan tersebut dibenarkan untuk dimasuki oleh polis baru-baru ini.
“Sebelum ini, pihak polis dan bomba tidak membenarkan untuk KDEB Waste Management (KDEBWM) melakukan usaha-usaha pembersihan di kampung itu. Kebenaran baru diberi hanya dalam dua atau tiga hari lepas saja.
“Ini berbeza dengan kawasan Putra Heights yang telah memulakan proses pembersihan lebih awal, kira-kira seminggu yang lepas apabila pihak polis telah membenarkan kawasan itu dimasuki,” katanya.
Jelasnya, skop operasi hanya meliputi pembersihan kawasan-kawasan awam dan membantu pemilik rumah yang terjejas.
“Kita cuma hendak buang tanah, batu-batu yang terlepas daripada kawasan kebakaran dan juga membantu membersihkan rumah. Kita tidak masuk ke dalam rumah kecuali dijemput oleh tuan rumah,” katanya.
Operasi itu turut disokong oleh 144 jentera termasuk lori penembak air bertekanan tinggi, lori tangki air, penyapu jalan, mesin pencincang kayu, skylift dan lain-lain. – UTUSAN










