TELUK INTAN: Kontraktor warga asing menjadi pilihan berbanding kontraktor tempatan kerana mereka mengambil upah pembinaan yang lebih rendah selain kurang berlaku penipuan setelah mendapat bayaran.
Ini diakui penduduk yang memilih mengupah kontraktor asing membina rumah di sini selain mereka berpengalaman luas dalam bidang pembinaan.
Seorang penduduk di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Harun berkata, dia kecewa kerana pernah ditipu kontraktor tempatan semasa membina rumah di kampung.
Katanya, lebih dikesalkan kontraktor tempatan itu merupakan orang yang dikenali tetapi tidak sangka ditipu.
“Saya beri bayaran penuh RM500,000 untuk bina empat unit rumah sewa tetapi sampai tak siap, terbengkalai.
“Hanya baru naik dua unit saja dan pekerjanya datang sekejap-sekejap, dua hari sahaja bekerja dalam tempoh dua minggu dengan alasan tak sihat.
“Saya tidak boleh tunggu lama, kalau bagi kontraktor bukan bumiputera yang buat, pasti cepat siap, tak kisahlah duit habis tapi rumah siap.
“Saya sambung projek ini dengan kontraktor warga asing, hanya RM300,000 dan boleh siap dalam masa dua bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, seorang kontraktor warga asing yang hanya mahu dikenali dengan nama Mohamad berkata, dia berpegang prinsip memudahkan urusan pembinaan rumah dengan pelanggan.
Katanya, dia mengamalkan konsep ‘untung kira kemudian’ kerana yang penting dia dan rakan-rakannya dapat bekerja untuk menyara kehidupan.
Jelasnya, apatah lagi dari segi hukum agama tidak boleh untung berganda sehingga membebankan orang lain.
“Kami mahu hari-hari ada kerja dan duit masuk, kami tinggal di negara ini kena kerja kuat kumpul duit,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin menyiarkan laporan mengenai sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga asing yang dilihat mula mengancam ‘periuk nasi’ kontraktor tempatan khususnya bumiputera.
Kebanyakan mereka didakwa menawarkan kos pembinaan yang lebih murah selain mudah berunding berbanding kontraktor tempatan walaupun isu kualiti dan jaminan keselamatan
hasil kerja tidak mendapat kelulusan dan mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa. – UTUSAN










