SC perkenal pendekatan Penilaian Skop Berfokus

SC perkenal pendekatan Penilaian Skop Berfokus

AWANG ADEK HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Penilaian Skop Berfokus (FSA) untuk Pengantara Pasaran Modal (CMI) 1 dan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) baharu yang layak.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, platform pengumpulan dana dan pelaburan dari pasaran swasta telah melalui pertumbuhan yang stabil untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memanfaatkan dana bagi rancangan kemajuan mereka.

“Sehingga suku ketiga 2023, platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) telah mengumpul kira-kira RM5.9 billion dan memanfaatkan hampir 10,000 PKS secara kolektif,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, komitmen membangunkan rangka kerja kawal selia yang lebih progresif dan teguh mencerminkan pengiktirafan SC terhadap peranan penting mereka dalam memacu pertumbuhan dan pembangunan negara.

Menurut Awang Adek, FSA menilai kesediaan operasi dan kawal selia pemohon dengan cara yang lebih disasarkan dan cekap, bertujuan memendekkan masa ke pasaran bagi CMI dan RMO kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, FSA juga memerlukan pemohon mempunyai pihak bebas yang mengesahkan dasar dan prosedur perniagaan mereka sebagai sebahagian daripada permohonan kepada SC.

“Ini akan memberi pemohon lebih kawalan dalam memastikan kecekapan dan juga menggalakkan kesediaan untuk mematuhi keperluan menjalankan aktiviti terkawal,” katanya.

Bagaimanapun katanya, SC tetap meneruskan kewajipan kawal selianya dalam menilai pemohon dalam bidang kritikal termasuk kesesuaian dan kewajaran, tadbir urus dan bidang risiko utama.

Beliau menambah, pindaan kepada Garis Panduan Pasaran yang diiktiraf telah dibuat untuk menyediakan platform yang sama rata untuk semua RMO, terutamanya dalam memastikan kecukupan sumber kewangan untuk memulakan operasi dengan cara adil dan teratur.

“Keperluan modal sebanyak RM5 juta kini diperluaskan kepada pengendali baharu pendanaan ekuiti ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×