Ringgit kekal lemah berbanding dolar AS

Ringgit kekal lemah berbanding dolar AS

RINGGIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini di tengah-tengah laporan inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, dan kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan kadar faedah pada paras semasa.

Pada pukul 9 pagi, ringgit melemah kepada 4.7820/7880 berbanding dolar AS, berbanding penutupan semalam pada 4.7600/7665, menurut laporan Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan terbaharu itu melonjakkan indeks dolar AS kepada 104.879 mata, meningkat 0.68 peratus.

Statistik biro tenaga buruh AS melaporkan bahawa inflasi, yang diukur oleh perubahan dalam indeks harga pengguna, turun kepada 3.1 peratus pada Januari 2024 daripada 3.4 peratus pada Disember 2023.

Bacaan itu melebihi jangkaan pasaran sebanyak 2.9 peratus.

Katanya, Fed mungkin mengekalkan kadar stabil sehingga ia yakin bahawa inflasi akan mencapai matlamat sebanyak 2 peratus.

“Mata wang utama seperti euro dan yen Jepun juga lemah berbanding dolar AS. Oleh itu, ringgit mungkin kekal lemah berbanding dolar AS hari ini,” katanya, menurut laporan berkenaan.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1734/1776 daripada 3.1827/1872 penutup semalam. Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 6.0186/0262 daripada 6.0243/0325 sebelumnya, dan meningkat berbanding euro kepada 5.1191/12565 daripada 5.1256/1326.

Di peringkat serantau, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan itu lebih kukuh berbanding baht Thailand pada 13.2484/2701 berbanding 13.3240/3478 pada penutup semalam.

Bagaimanapun, ringgit jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.51/8.53 daripada 8.50/8.52, rendah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5391/5438 daripada 3.5377/5428 sebelumnya, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 306.4/306.9 daripada 305.0/305.6. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×