Toyota Innova Zenix V - Meneruskan legasi penjenamaan Innova

Toyota Innova Zenix V – Meneruskan legasi penjenamaan Innova

Innova Zenix V
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama varian Innova daripada jenama Toyota ini sudah terlalu dikenali oleh rakyat tempatan. Ia antara kenderaan pelbagai guna (MPV) yang begitu popular, malah ia turut popular di Indonesia dengan nama Toyota “Kijang” ketika di awal pengenalannya. Innova yang dikenali dengan tempat duduk 3 barisan dikatakan sebagai MPV mampu milik bagi golongan pertengahan.

Di Malaysia walau bagaimanapun, versi generasi kedua telah dilancarkan pada 2016, dan dipasang secara CKD di fasiliti Toyota di Shah Alam. Dua model telah dihasilkan iaitu E dan G. Pada 2017 pula, UMW Toyota memperkenalkan varian kelas tertinggi untuk model ini iaitu 2.0 X.

Walaupun kini versi generasi ketiga Innova telah dilancarkan, UMW Toyota Motor terus mengumumkan penjualan generasi kedua, dan dengan itu menganugerahkan nama Zenix sebagai pengenalan bagi membezakan antara model terbaharu dengan yang lama.

Ayuh kita lihat apakah kelebihan dan perbezaan model Zenix ini berbanding model 2.0 X yang pernah saya dipand uji hampir dua tahun lalu.

 

Perbandingan antara model 2.0X dan Zenix.

Jika anda bukan peminat Innova atau peminat setia pasaran kenderaan MPV, anda mungkin menjangkakan bahawa ia serupa dengan model Innova 2.0X (generasi ke-2). Hanya sekiranya anda mempunyai foto kedua-dua model, baru anda dapat mengenalpasti perbezaan reka bentuk fizikalnya.

Jika pada peringkat awal kita ingin merumuskan perbezaan yang ketara antara Innova 2.0X dengan Zenix ialah, penggunaan pacuan roda hadapan telah diperkenalkan dan teknologi-teknologi bantuan pemanduan elektronik yang terbaharu di pasaran automotif global turut terdapat pada model ini. Penggunaan roda bersaiz 18 inci juga, dilihat sebagai menambah keutuhan rekaan fizikalnya.

Model Zenix didatangkan dengan 2 varian iaitu V (Petrol) dan HEV (Hibrid) dan kedua-dua model ini diimport dari Indonesia (CBU). Sementara Innova generasi kedua tersebut menggunakan pacuan roda belakang, akan tetapi model Zenix dikatakan lebih memberikan pemanduan yang lebih berkualiti, selesa dan penambahbaikan terhadap pengendaliannya.

Reka bentuk Toyota Innova Zenix lebih menampakkan ciri-ciri sebuah SUV berbanding penciptaan asalnya sebagai sebuah MPV. Begitupun, perbezaan ketara yang ada pada model Zenix ialah harga pasarannya yang mencecah RM165,000 untuk model V dan RM202,000 untuk versi hibrid. Sebagai perbandingan harga pasaran versi Innova 2.0X adalah sekitar RM141,880. Kesemua harga ini adalah tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

PEMANDUAN

Versi yang saya terima untuk pandu uji adalah model Innova 2.0V yang dilengkapi sistem bantuan pemanduan elektronik yang agak terkini. Model V dikatakan menghasilkan kuasa maksimum 174 PS berbanding model X yang hanya 139 PS.

Ketika pemanduan, penggunaan gear pada kedudukan “D” terasa berat untuk bertindak dan merasakan ia agak payah untuk memberikan tujahan kuasa. Walau terdapat versi pertukaran gear di stereng (Paddle Shifter) seperti sebuah kereta sport, saya masih merasakan ia agak lembab dan berat untuk memecut ketika diperlukan.

Saya juga mendapati, dengan menukar tombol gear kepada sistem M (manual), barulah ia dapat dirasakan tujahan tersebut tanpa kedengaran enjin meraung dengan terlalu kuat. Tetapi sejujurnya, peningkatan kelajuan yang ditonjolkan pada meter tidak “ditafsirkan” pada fizikal kenderaan ini. Meter sudah menunjukkan kelajuan sehingga 130km/j tetapi perasaan seperti kenderaan tersebut terlalu perlahan dari pemandangan optikal dan perasaan pemanduan.

Model Zenix V juga dikatakan tidak lagi menggunakan penggubah tork automatik (automatic torque converter) tetapi menggunakan sistem “Direct Shift” CVT dengan 10 ratio virtual dalam sistem pertukaran gear secara berturutan (sequential). Pertukaran sistem gear ini juga turut dikatakan memberikan lebih penjimatan penggunaan bahan api, lebih senyap dan lebih kekuatan pecutan daripada kelajuan rendah.

Ketika pemanduan di lebuh raya, Toyota Zenix V dengan mudah meluncur pada kelajuan 130 hingga 140km/j tanpa sebarang masalah dalam kelajuan tersebut. Akan tetapi, tujahan angin ketika memotong kenderaan besar seperti bas atau lori, saya mendapati, terdapat buaian akibat `ditampar’ angin dari tepi.

Toyota walau bagaimana pun mengatakan perubahan penggunaan bingkai casis ke TNGA (Toyota New Global Architecture) menyebabkan kestabilannya turut bertambah dengan merendahkan titik tengah graviti. Mungkin tanpa casis baharu ini, goyangan tersebut akan dirasakan lebih ekstrim.

Keselesaan dari segi dalam kabin ternyata adalah satu faktor yang sangat perlu diambil kira. Sudah pasti, pemilihan anda ke kenderaan MPV berdasarkan kebolehan kenderaan ini membawa 7 penumpang termasuk pemandunya. Innova Zenix V diyakini mampu memberikan keselesaan penumpangnya sama ada dari segi ruang letak kaki di barisan kedua yang sangat luas, dan keempukan kerusinya di setiap barisan dari hadapan sampai ke barisan ketiga.

KESIMPULAN

Saya mendapati, Toyota Innova Zenix V bukan setakat sebuah kenderaan yang hanya meneruskan legasi jenama dari model yang sama, tetapi ia lebih kepada penambahbaikkan kepada model dan teknologinya.

Saya dapati, ia seolah-olah meletakkan diri untuk bersaing sama hebat dengan MPV malah kenderaan jenis SUV dari Eropah. Jika anda sememangnya sudah mampu dan bersedia untuk mengeluarkan bajet untuk pemilikan sebuah MPV atau SUV dari Eropah, bandingkan dahulu spesifikasi Toyota ini dengan harga yang ditawarkan. Anda akan dapati Toyota ini lebih mesra poket dan menawarkan sistem-sistem yang hampir sama dengan MPV/SUV Eropah.-UTUSAN

 

Spesifikasi

model Innova Zenix V

 

Enjin 2.0-litre Dynamic Force NA empat sebaris
Kuasa Maksimum 174 PS
Tork Maksimum 205 Nm
Transmisi 10-Kelajuan pertukaran langsung CVT
Roda 18 inci
Sistem
Smart Entry & Start
Ada
Unit Infotainmen Skrin sesentuh 10.1-inci lengkap dengan Apple CarPlay & Android Auto
Sistem Toyota Safety Sense Autonomous emergency braking with intersection support, Bantuan Pengendalian kecemasan, Low-speed acceleration suppression, Dynamic radar cruise control, Bantuan Pengesanan Laluan, Amaran Terkeluar Laluan, bantuan penanda jalan, dan amaran lintasan hadapan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN