PETALING JAYA: Kaedah subsidi silang perlu dihentikan dan kerajaan harus mengambil alih tanggungjawab pembinaan rumah kos rendah, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad, Datuk Seri FD Iskandar.
Beliau berkata, ini kerana syarikat utiliti tempatan telah mencatatkan jumlah keuntungan yang memberangsangkan.
Menurut beliau, langkah itu akan memberi ruang kepada pemaju perumahan memulihkan kedudukan kewangan mereka akibat kerugian pasca-pandemik serta menanggung kos menjalankan perniagaan yang masih tinggi.
“Kita harus terima hakikat bahawa sektor hartanah dibelenggu kos premium tanah yang melambung serta kos bahan binaan utama seperti simen yang mahal.
“Oleh kerana wujudnya monopoli bekalan simen di negara ini, kawalselia yang lebih baik diperlukan bagi membantu mengurangkan kos binaan di pihak pemaju.
“Juga amatlah mustahil untuk pemaju menurunkan harga rumah sekiranya kos pematuhan yang dikenakan adalah tinggi. Kesan gandaan seperti ini perlu dibendung.
“Saya juga mengesyorkan proses kelulusan projek perumahan dalam tempoh yang ditetapkan terus ditambahbaik dari aspek ketelusan. Pada pendapat saya, banyak lagi ruang untuk merancakkan pembangunan sektor hartanah untuk kesenangan rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena Belanjawan 2024.
FD Iskandar turut berharap kerajaan melalui Belanjawan 2024 memperkenalkan inisiatif yang dapat memudahkan ramai lagi rakyat memiliki rumah sendiri di samping menjadi pemangkin sektor hartanah yang dibelenggu pelbagai kekangan.
Katanya, Belanjawan 2024 perlu memperkasa sektor hartanah agar manfaatnya dapat merentasi rantaian nilai dari pembeli rumah, syarikat pemaju dan industri sokongan.
“Antara insentif yang dialu-alukan adalah potongan cukai faedah untuk rumah berharga RM700,000 di kawasan bandar-bandar utama, kadar faedah yang lebih rendah untuk pembeli rumah kali pertama untuk hartanah RM500,000 di kawasan yang bukan bandar-bandar utama, serta memperkenalkan semula kempen-kempen pemilikan rumah seperti Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) terutamanya untuk pembeli rumah kali pertama,” katanya. – UTUSAN










