PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan pembukaan kilang pengeluaran tempat duduk kereta baharu di Tanjung Malim.
Kilang itu dijangka akan memainkan peranan penting dalam pengeluaran kenderaan akan datang Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd (Proton).
Dibangunkan dengan pelaburan lebih RM30 juta, kilang itu terletak hanya 2.5 kilometer dari kilang Proton di Tanjung Malim, di mana dua pemegang saham utama Proton, DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), sedang membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), hab global untuk pengeluaran kenderaan tenaga baharu (NEV).
“Kilang pengeluaran tempat duduk kereta EPMB mempunyai kapasiti awal untuk mengeluarkan 150,000 set tempat duduk kereta setiap tahun. Ia akan memenuhi keperluan PROTON untuk pengeluaran kenderaan yang akan datang,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pelancaran kilang tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.
Menurut EPMB, kilang itu merupakan kilang pertama Kumpulan untuk pengeluaran tempat duduk kereta.
“Ia merupakan kes yang menarik kerjasama dan pemindahan teknologi dalam ekosistem Proton. Projek membangunkan kilang ini melibatkan perkongsian teknikal antara EPMB dan pengeluar alat ganti kenderaan China Zhejiang Jujin Automobile & Motor-cycle Accessories Co., Ltd., yang kini membekalkan tempat duduk kereta kepada Geely,” jelasnya.
Mengulas pembukaan kilang itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, pembukaan kilang adalah langkah kritikal dalam kerjasama EPMB dengan Proton yang telah berlangsung hampir empat dekad.
Katanya, ia adalah kali pertama EPMB melibatkan diri dalam pengeluaran dan pemasangan tempat duduk, dan berasa berbesar hati kerana Proton memberi peluang berkenaan.
“Kami komited sepenuhnya kepada kejayaan Proton dalam mencapai sasaran mereka, serta pelan hala tuju Proton di pasaran NEV. Bagi EPMB pula, usaha ini akan membolehkan kami mempelbagaikan perniagaan kami daripada pengeluaran produk logam dan plastik, dan membuka aliran perniagaan baru dengan potensi pertumbuhan yang besar,” katanya. – UTUSAN










