PETALING JAYA: Harga saham syarikat pemprosesan sarang burung, MYMBN Bhd. dibuka pada 28 sen sempena penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, mewakili premium sebanyak 33.33 peratus, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 21 sen untuk terbitan awam 98.00 juta saham biasa baharu.
IPO MYMBN mencatatkan permulaan yang positif, dengan 19.30 juta saham baharu disediakan untuk permohonan orang awam, terlebih langgan sebanyak 30.77 kali.
Pada pukul 9.49 pagi, MYMBN adalah kaunter kedua paling aktif didagangkan dengan 78.98 juta saham bertukar tangan.
Pengerusi MYMBN, Chong Liong berkata, ia adalah peristiwa bersejarah buat Syarikat apabila menjadi syarikat sarang burung pertama disenaraikan di Bursa Malaysia.
Kata beliau, dalam beberapa tahun kebelakanga, syarikat telah menyaksikan lonjakan ketara dalam permintaan untuk EBN (sarang burung boleh dimakan) keluaran Malaysia, bukan hanya dalam pasaran domestik tetapi juga pada skala global, khususnya di negara-negara seperti China dan Vietnam.
“Oleh itu, kami telah membentangkan beberapa inisiatif untuk memanfaatkan prospek industri kami yang menjanjikan ini dan untuk mengembangkan pangkalan pelanggan kami dalam kedua-dua pasaran tempatan dan serantau,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lavernt Chen berkata, beliau gembira dengan harga pembukaan itu dan ia secara kebetulan sepadan dengan kod saham Syarikat “0280”.
Dengan perolehan RM20.58 juta daripada IPO, MYMBN akan menggunakan RM2.80 juta dan RM3.20 juta untuk pembelian kemudahan pemprosesan baharu dan untuk pengubahsuaian serta kerja-kerja pemasangan.
Syarikat juga akan melabur RM1.68 juta untuk menubuhkan tiga pusat pengumpulan sarang burung di Malaysia Timur manakala RM1.25 juta akan diperuntukkan untuk pengembangan pemprosesan dan penjualan sarang burung mentah yang boleh dimakan (RCEBN), melalui sasaran pemerolehan yang telah dikenal pasti di China.
“Kira-kira RM6.60 juta daripada hasil itu akan digunakan untuk pembelian sarang burung mentah untuk RUCEBN, manakala RM2.05 juta telah diperuntukkan untuk modal kerja Syarikat, dan baki RM3.00 juta untuk perbelanjaan penyenaraian,” jelas syarikat itu. – UTUSAN










