PETALING JAYA: Honda Malaysia melancarkan Winsome Runabout Vehicle (WR-V) baharu pada harga bermula pada RM89,900 dan dijangka akan menguasai trend kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, model yang didatangkan dengan empat varian tersebut sudah menerima lebih 2,500 tempahan sejak Jun lalu.
Beliau berkata, Honda menetapkan sasaran jualan bulanan sebanyak 1,300 unit untuk model tersebut berikutan peningkatan permintaan dalam segmen berkenaan kerana model itu luas dan praktikal, menawarkan prestasi pemanduan serta keselesaan yang baik.
“Kami percaya SUV kecil ini mempunyai potensi pasaran yang besar dan akan mengukuhkan kedudukan Honda Malaysia dalam segmen kenderaan SUV kategori bukan nasional.
“Honda yakin WR-V baharu ini dapat menarik perhatian golongan profesional muda serta pelanggan berkeluarga yang mencari SUV kecil dengan penawaran nilai yang baik,” katanya pada majlis pelancaran model tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Menurut Yoshimura, WR-V didatangkan dalam empat varian iaitu RS, V, E dan S iaitu masing-masing pada harga RM107,900; RM99,900; RM95,900 dan RM89,900.
Tambahnya, varian RS hadir dengan gril gaya mesh berwarna krom perak, hiasan bawah bertona perak cerah dan aloi roda dwi-tona 17 inci.
Model itu turut menarik perhatian dengan aspek kelepasan permukaan (ground clearance) setinggi 207 milimeter (mm), mengatasi kenderaan dalam kategori lebih tinggi.
Ciri-ciri luaran lain yang menambahkan seri WR-V termasuk spoiler belakang, antena shark fin, lampu auto LED dan lampu nyalaan siang LED (DRL), lampu kabus depan LED dan lampu isyarat depan LED sequential.
Dalam pada itu, model tersebut didatangkan dengan lima pilihan warna, termasuk warna baharu, putih mutiara stellar, pertama kali seumpamanya untuk model Honda dan warna lain adalah putih mutiara platinum, merah menyala metalik, kelabu meteoroid metalik dan hitam kristal mutiara.
Mengenai sasaran jualan Honda, Yoshimura berkata, pihaknya berada pada landasan yang betul untuk mencapai 80,000 sasaran jualan pada tahun ini.
Beliau berkata, Honda Malaysia masih berdepan masalah bekalan cip pada separuh pertama tahun ini, dan menjangkakan perkara tersebut semakin baik pada separuh kedua. – UTUSAN








