OPR dijangka 3.0 peratus suku kedua 2023

OPR dijangka 3.0 peratus suku kedua 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) semasa adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan, kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, bank pusat dijangka akan memulihkan Kadar Dasar Semalam (OPR) kepada 3.0 peratus seperti sebelum pandemik pada separuh pertama 2023, sejajar dengan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Katanya, BNM akan menormalkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2.0 peratus kepada 3.0 peratus pada tahun ini.

“Kadar SR dikurangkan kepada 2.0 peratus sejak Mac 2020. Bagaimanapun, keputusan tersebut adalah tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan lagi dalam keadaan makroekonomi.

“Ini terutamanya dengan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin mening­kat,” katanya dalam Semakan Ekonomi di sini.

MIDF Research berkata, dalam jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam keberhutangan isi rumah.

Sementara itu, AmBank Economic Research menyasarkan peningkatan OPR pada suku kedua tahun ini atau seterus­nya, bergantung pada panduan lanjut serta bagaimana data inflasi domestik berkembang pada bulan-bulan akan datang.

“Sehubungan itu, Laporan Tahunan BNM 2022 pada akhir bulan ini boleh memberikan penilaian lebih dinamik mengenai pandangan kami dalam ekonomi dan inflasi hadapan.

“Berdasarkan latar belakang ini, kami mengekalkan saranan kami untuk kenaikan 25 mata asas lagi tahun ini, membawa OPR kembali ke tahap sebelum pandemik pada 3.0 peratus,” ujarnya.

Jawatankuasa Dasar Mone­tari (MPC) BNM Khamis lalu sekali membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN