MYNIC tingkat pengetahuan premis digital

Digital: MYNIC latih usahawan agro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MYNIC Berhad dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah melatih hampir 100 usahawan agro di bawah Program Realisasi Impian Digital (PRIME) untuk meningkatkan pemahaman serta penyertaan mereka ke saluran digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan berkata, sektor agro merupakan salah satu tunjang kepada negara dan ianya turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana.

Kata beliau, MYNIC telah bekerjasama dengan MAFS serta agensi-agensi di bawahnya seperti FAMA, LPP, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

“Objektif PRIME adalah untuk memberi pendedahan terhadap penambahbaikan teknologi digital serta impak kepada penjenamaan digital produk ahli-ahli mereka. Kami juga turut berkongsi bagaimana pemasaran melalui premis digital dapat meningkatkan hasil jualan dan keyakinan pelanggan kepada produk agro mereka.

“Produk hasil usahawan kami kini semakin dikenali, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Antara contoh adalah sambal Cik Midah yang berjaya mendapat pelanggan dari United Kingdom, Singapura dan lain-lain lagi. Ini lah kelebihan premis digital, perniagaan tanpa batasan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, MYNIC juga telah memperkenalkan Program Latihan Pembangunan Laman Web dan Pemasaran Digital secara atas talian kepada orang ramai.

Selain secara automatik menjadi ahli Komuniti .MY, peserta juga akan mendapat bimbingan secara berterusan selama tiga bulan dan menikmati pelbagai keistimewaan lain.

“Mereka yang berminat boleh layari laman web atau laman sosial media kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini,” kata beliau.

Tambahnya, umum perlu tahu bahawa nama domain .MY mempunyai kadar penyalahgunaan yang rendah iaitu hanya sebanyak dua peratus berbanding ‘generic Top Level Domain (gTLD)’ yang lain.

“Ini sekaligus menunjukkan bahawa tahap kepercayaan serta jaminan keselamatan terhadap perniagaan yang menggunakan nama domain .MY diakui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN