PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mencadangkan untuk menyemak semula nilai ambang kriteria kelayakan bagi pengecualian audit kategori syarikat persendirian tertentu.
Ia melalui kaedah konsultatif dengan menerbitkan Dokumen Konsultasi berhubung Cadangan Semakan Kriteria Pengecualian Audit bagi Syarikat Persendirian di Malaysia, hari ini.
Kriteria kelayakan bagi pengecualian audit telah diperkenalkan pada 4 Ogos 2017 Arahan Amalan No. 3/2017 selaras dengan polisi untuk mengurangkan beban pematuhan dan pentadbiran yang dihadapi oleh syarikat kecil dalam mematuhi kehendak Akta Syarikat 2016.
“Bagi memastikan objektif polisi kekal relevan dan bermanfaat, SSM mencadangkan agar nilai ambang kriteria kelayakan pengecualian audit dinaikkan bagi membolehkan lebih banyak syarikat terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada polisi ini,” katanya dalam kenyataan.
SSM berkata, buat masa sekarang, syarikat persendirian boleh mengenepikan keperluan daripada diaudit sekiranya kriteria kelayakan berikut dipenuhi:
(a) Syarikat dorman (Dormant Companies) – dorman sejak diperbadankan atau dorman dalam tempoh 2 tahun kewangan;
(b) Syarikat sifar pendapatan (Zero-Revenue Companies) – tidak mempunyai pendapatan pada tahun kewangan semasa dan 2 tahun kewangan terdahulu dengan jumlah aset tidak melebihi RM300,000 dalam tempoh yang sama
(c) Syarikat berkelayakan nilai ambang (Threshold-Qualified Companies) – mempunyai pendapatan tidak melebihi RM100,000 pada tahun kewangan semasa dan 2 tahun kewangan terdahulu dengan jumlah aset tidak melebihi RM300,000 dan mempunyai tidak lebih daripada 5 pekerja dalam tempoh yang sama.
Kriteria kelayakan baharu dicadangkan adalah seperti berikut:
(a) Syarikat dorman (Dormant Companies) – dorman sejak diperbadankan atau dorman dalam tempoh 2 tahun kewangan;
(b) Syarikat Sifar Pendapatan (Zero-Revenue Companies) – tidak mempunyai pendapatan pada tahun kewangan semasa dan 2 tahun kewangan terdahulu dengan jumlah aset tidak melebihi RM500,000 dalam tempoh yang sama;
(c) Syarikat berkelayakan nilai ambang (Threshold-Qualified Companies) – mempunyai pendapatan tidak melebihi RM1,000,000 pada tahun kewangan semasa dan 2 tahun kewangan terdahulu dengan jumlah aset tidak melebihi RM1,000,000 dan mempunyai tidak lebih daripada 30 pekerja dalam tempoh yang sama.
“Dokumen konsultasi berhubung Cadangan Semakan Kriteria Pengecualian Audit Bagi Syarikat Persendirian Di Malaysia boleh diakses melalui Portal SSM dan semua platform media sosial rasmi SSM,” katanya.
SSM menjemput komen berhubung dokumen konsultasi melalui emel kepada [email protected] sebelum 28 Februari 2023. Sebarang pertanyaan berhubung dokumen tersebut juga boleh dimajukan melalui emel yang sama. – UTUSAN










