DUNGUN: Projek pembangunan sebuah pusat perniagaan baharu bernilai lebih RM20 juta yang bakal dibina berhampiran Pantai Peranginan Teluk Lipat di Sura Gate di sini akan menjadi mercu tanda baharu di daerah ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek pembangunan tersebut yang dikenali Pusat Perniagaan D’Gate Sura merupakan projek usahasama antara Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Syarikat Artha Global Sdn. Bhd.
Menurutnya, projek tersebut akan melibatkan pembinaan sebanyak 72 unit lot komersial berstrata dengan keluasan 240 meter persegi sehingga 800 kaki persegi hingga 570 meter seunit.
Katanya, bangunan pusat perniagaan yang direka oleh arkitek terkenal negara, Ar Hud Abu Bakar yang sebelum ini menyumbang kepakaran dalam membina Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur.
“Pembinaan bangunan di pusat perniagaan itu berkonsepkan seni bina Islam Kontemporari serta moden dan unik dengan mempunyai jabatan penghubung di tingkat atas antara kedua-dua bangunan yang menghadap pemandangan laut.
“Projek tersebut akan mula dibina pada pertengahan bulan depan dan dijangka siap menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Perniagaan Secara Usahasama Antara MPD dengan Syarikat Artha Global Sdn. Sdn. di sini, semalam.
Ahmad Samsuri memberitahu, pembangunam tersebut diyakini mampu memberi impak besar terhadap bandar Dungun serta menjadi kawasan perniagaan yang terancang dan teratur.
Selain itu, menurutnya, pusat pembangunan itu juga bakal memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk memiliki hartanah berikutan penjualannya adalah secara per unit.
“Projek ini juga boleh menarik masyarakat untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti ekonomi dan menjadi tumpuan pelancong,” ujarnya.
Mengulas lanjut, tambahnya, kerajaan negeri juga sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk di tanah milik Pihak Berkuasa Tempatan dalam usaha merancakkan pembangunan di Terengganu. – UTUSAN










