Bursa Malaysia, DOSM jalin kerjasama

Bursa Malaysia, DOSM jalin kerjasama

MOHD. Uzir Mahidin (dua kiri) dan Muhamad Umar Swift bertukar dokumen kerjasama disaksikan oleh Abdul Wahid Omar (kanan) dan Timbalan Ketua Perangkawan, Datin Seri Rozita Talha di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad menandatangani memorandum persefahaman  bersama Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) untuk memberi akses kepada dua-dua pihak berkongsi data makroekonomi.

DOSM dan Bursa Malaysia akan berkongsi data demografik, statistik makroekonomi dan laporan untuk mengenal pasti trend penting dan pemahaman untuk membangunkan modal pasaran.

DOSM turut memperoleh akses kepada pangkalan data berhubung syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, termasuk statistik dagangan.

Di bawah terma perjanjian, DOSM dan Bursa Malaysia berpeluang menjalankan eksplorasi di dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama ke arah pembangunan modal pasaran.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhammad Umar Swift dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai itu akan membolehkan DOSM dan Bursa Malaysia memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang keselarian yang wujud antara pelbagai data mikro dan makro ekonomi serta data dalam pasaran modal domestik negara.

“Data-data itu seterusnya digunakan bagi membantu syarikat tersenarai awam untuk membangunkan strategi perniagaan yang bermakna dan inovatif, sekali gus membolehkan pasaran modal domestik mencapai potensi perkembangannya.

“Selain itu, kerjasama ini juga akan menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban data dalam kalangan agensi kerajaan, sekali gus memastikan integriti data kami terus terpelihara.

“Menerusi MoU itu juga kami akan memanfaatkan set data kami untuk membina ekosistem data holistik dan inklusif yang boleh menyokong pelan pembangunan sosio-ekonomi Malaysia, di samping memudahkan peralihan ke arah pelbagai sumber data dan maklumat yang dapat menyediakan kemas kini dan analisis pantas,” katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian perjanjian tersebut, semalam.

Ujarnya, kerjasama itu merangkumi perkongsian data berkualiti tinggi kepada khalayak ramai, serta berperanan menyumbang kepada pendidikan pelabur yang akan membolehkan pelabur runcit terutamanya membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan bermakna.

Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, data Bursa Malaysia amat penting kerana ia digunakan sebagai input kepada penyusunan penunjuk ekonomi Malaysia melalui Indeks Pelopor (IP) yang memberikan unjuran arah pergerakan ekonomi dalam tempoh purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Tambah Mohd. Uzir, indeks itu digunakan secara meluas oleh para penyelidik ekonomi dalam jangkaan ekonomi akan datang.

Dengan perkongsian itu katanya, DOSM akan mempunyai pengakalan data (database) yang lebih sistematik dan cara perkongsian data yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“DOSM akan membekalkan maklumat berkaitan perakaunan negara, penunjuk ekonomi, inflasi, perdagangan, imbangan pembayaran, buruh, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, alam sekitar dan sosial.

“Sebagai timbal balik, pihak Bursa Malaysia pula akan melaksanakan perkongsian data melibatkan pasaran saham secara menyeluruh meliputi transaksi harian dan bulanan saham, indikator Bursa Malaysia, ringkasan indeks & sektor mengikut pasaran, penyertaan dagangan serta laporan tahunan syarikat tersenarai awam.

“Kerjasama ini tidak terhad kepada perkongsian data, bahkan merangkumi kolaborasi dalam memberi latihan dan taklimat berkaitan pengumpulan, pentafsiran dan penyebaran perangkaan rasmi yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.

“Jalinan kerjasama ini diharap memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya DOSM dalam penyampaian khidmat statistik dan seterusnya memasyarakatkan statistik rasmi negara di kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN