Proton hantar 1,000 kenderaan ke Afrika Selatan - Utusan Malaysia

Proton hantar 1,000 kenderaan ke Afrika Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton menghantar 1,000 unit kenderaannya ke Afrika Selatan hanya selepas dua bulan kembali semula secara rasmi ke negara tersebut bagi memenuhi permintaan kukuh dalam pasaran.

Pengeluar kereta nasional negara tersebut berjaya bertapak dengan kukuh di negara Rainbow Nation itu hasil populariti Proton X50 dan Proton X70.

Pengarah Jualan Antarabangsanya, Steven Xu berkata, penjualan pantas kenderaan syarikat di Afrika Selatan adalah bukti daya tarikan Proton sebagai jenama dan rangkaian modelnya kepada pembeli kereta di sana. 

“Kami mempunyai hubungan kerja yang kukuh dengan Kumpulan CMH dan mereka telah mengendalikan banyak aktiviti untuk memberikan peluang kepada seramai mungkin warga Afrika Selatan untuk merasai rangkaian model-model semasa kami.

“Misi syarikat untuk kembali ke pasaran tersebut selepas berehat selama 10 tahun bermula apabila syarikat melantik CMH Group sebagai pengedarnya untuk Afrika Selatan pada April 2022. 

“Penghantaran pertama kenderaan yang terdiri daripada Proton X50 dan Proton X70 berlaku pada Mei 2022 manakala pelancaran semula jenama dan produk berlangsung pada 14 September 2022,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sejak pelantikan tersebut, CMH telah meluaskan rangkaian pengedaran secara berperingkat untuk meningkatkan akses kepada pasaran sambil turut aktif mempromosikan kenderaan Proton di media sosial. 

Beliau berkata, hanya kenderaan utiliti sukan (SUV) syarikat ditawarkan di negara itu ketika ini dan Saga akan menyertai rangkaian tersebut pada 2023.

“Proton dan CMH yakin mampu mengembangkan jualan secara eksponen di Afrika Selatan kerana sambutan yang kami terima setakat ini amat menggalakkan. 

“Kami komited untuk menyediakan SUV mewah mampu milik untuk pembeli kereta di Afrika Selatan dan PX50 serta X70 mempunyai gabungan ciri dan nilai yang tepat untuk bersaing dengan jenama lain. 

“Dari segi spektrum lain, kami juga merasakan bahawa Saga akan menemui posisinya sendiri dengan gabungan gaya, ciri canggih dan harga yang memberi nilai tinggi kepada pembeli,” ujarnya.

Tambahnya, jualan eksport terus menunjukkan aliran pertumbuhan pada 2022 dengan jumlah 5,028 unit pada akhir November.

Jelasnya, Bahagian Jualan Antarabangsa syarikat yakin akan dapat membesarkan lagi nombor itu dengan baki satu bulan sebelum tahun ini berakhir.

Pakistan kekal sebagai pasaran terbesar dengan 2,610 unit setakat tahun ini dan Afrika Selatan adalah kedua terbesar dari segi jumlah walaupun merupakan tambahan baharu ke dalam senarai eksport, manakala Brunei Darussalam menduduki tempat ketiga.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN