Neutral karbon, Petronas perkukuh kerjasama dengan Jepun

Petronas perkukuh kerjasama dengan Jepun capai neutral karbon 2050

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) jalin kerjasama dengan dua entiti dari Jepun untuk sama-sama meneruskan matlamat kelestarian dan mencapai neutral karbon menjelang 2050.

Syarikat minyak dan gas negara itu menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun serta memorandum persefahaman (MoU) dengan Japan Bank for International Cooperation (JBIC).

Menurut Petronas, MoC dengan METI bertujuan meningkatkan kerjasama antara Petronas dan Jepun dalam pembangunan serta penggunaan sumber tenaga dan teknologi untuk mencapai peralihan tenaga pragmatik.

MoU bersama JBIC menumpukan pada meluas dan meningkatkan kerjasama dua hala antara Petronas dan syarikat-syarikat Jepun dalam projek yang dikendalikan oleh Petronas secara global dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan rantaian nilai hidrogen dan ammonia, tenaga boleh diperbaharui, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan mobiliti hijau.

“MoC dan MoU itu dijangka memudahkan pelaburan dan pembiayaan selain dapat meningkatkan kerjasama teknikal dan kecekapan dalam teknologi rendah karbon di rantau ini,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Jepun telah lama menjadi rakan kongsi syarikat sejak zaman eksport gas asli cecair (LNG) pertamanya pada awal 1980-an dan perkongsian ini telah berkembang merangkumi bidang kerjasama baharu dalam ruang tenaga bersih.

“Petronas berbesar hati untuk terus mengukuhkan lagi hubungan kami melalui kerjasama dengan METI dan JBIC ini dalam meneruskan pertumbuhan hijau untuk Asia ke arah peralihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh termasuk akses yang lebih baik kepada teknologi dan pembiayaan, adalah kunci untuk mencapai peralihan tenaga yang berkesan dan seimbang.

“Kerjasama itu tepat pada masanya sejajar dengan pelancaran Dasar Tenaga Negara (DTN) baru-baru yang menggariskan rancangan pembangunan jangka panjang negara dan pada masa yang sama memenuhi keperluan tenaga sambil beralih kepada masa hadapan rendah karbon.

“Berpandukan DTN dan matlamat dalaman kami dalam memenuhi tujuannya sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif, Petronas akan meneruskan kerjasama sinergi dalam menyokong agenda tenaga Malaysia dan aspirasi kumpulan sendiri untuk pertumbuhan berterusan dalam ruang ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×