Perda peruntuk RM200,000 bantu syarikat, usahawan - Utusan Malaysia

Perda peruntuk RM200,000 bantu syarikat, usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukkan sehingga RM200,000 untuk membantu kira-kira 10 buah syarikat dan usahawan bimbingannya untuk mendapatkan pensijilan halal pada tahun ini.

Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, walaupun jumlah itu tidak terlalu besar, namun katanya, ia diharap dapat menjadi ‘batu loncatan’ kepada para usahawan yang berkenaan untuk mengorak langkah lebih jauh dalam industri halal selepas ini.

“Kita bantu usahawan yang dipilih ini langkah demi langkah untuk mendapatkan sijil halal bagi membolehkan mereka mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

“Justeru, saya berharap agar para usahawan yang terpilih akan berusaha bersungguh-sungguh dalam perniagaan mereka sekali gus dapat menyumbang kepada masyarakat semula setelah berjaya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Pensijilan Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana Perda 2022 di Hotel Ixora di sini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda, Mohd Asri Baharum.

Difahamkan, setiap penerima bantuan itu akan mendapat RM20,000 iaitu RM10,000 daripadanya boleh digunakan untuk perkhidmatan perundingan manakala selebihnya pula digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf premis perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, Khaliq Mehtab berkata, berdasarkan rekod daripada Portal Halal Malaysia milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebanyak 552 syarikat dengan 10,892 jenis produk berdaftar di Pulau Pinang telah memperoleh pensijilan halal ketika ini.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah syarikat bumiputera yang mempunyai sijil halal di negeri ini boleh dikatakan agak kecil.

“Dalam hal ini, Perda akan terus berusaha untuk mendapatkan dana tambahan bagi membolehkan lebih ramai usahawan dibantu untuk mendapatkan sijil halal pada tahun depan.

“Jumlah itu (usahawan yang mendapat sijil halal) mungkin akan naik sehingga dua kali ganda berbanding tahun ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya