TNB nasihat pengguna amalkan penggunaan pendingin hawa secara bijak

Panduan jimat elektrik ketika musim panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna mengamalkan penggunaan pendingin hawa secara bijak kerana ia boleh mengakibatkan atau menjurus kepada penggunaan tenaga yang tinggi.

Ini susulan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan cuaca panas akan berlarutan sehingga Mei ini, sebelum beransur reda pada Jun.

TNB dalam kenyataan memaklumkan, antara langkah-langkah menjimatkan penggunaan tenaga, terutama pendingin hawa yang mudah dipraktikkan adalah melaraskan suhu sistem pendingin hawa di antara 24 ke 26 darjah celsius.

Katanya, orang ramai juga perlu menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut kerana penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

“Selain itu, menyenggara pendingin hawa secara kerap juga boleh membantunya beroperasi pada tahap optimum, manakala menutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara dapat memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik.

“Pada waktu malam, pasang kipas dan tetapkan masa untuk pendingin hawa dipadamkan. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang namun kos menggunakan kipas adalah lebih murah selain membantu pengedaran udara di dalam bilik,” kata kenyataan itu.

Pengguna juga digalakkan untuk menggantikan pendingin hawa yang lama kerana ia tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

Pengguna yang ingin membeli pendingin hawa baharu dicadangkan supaya memilih model yang mempunyai bilangan bintang kecekapan tenaga paling tinggi kerana lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut lebih cekap tenaga.

Pemilihan saiz dan jenis pendingin hawa yang tepat iaitu bersesuaian dengan saiz ruang bilik juga penting kerana kapasiti kuasa kuda (horsepower) pendingin hawa yang terlebih besar
bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malah menggunakan tenaga elektrik yang lebih tinggi.

Untuk maklumat tambahan berkaitan penjimatan elektrik yang bijak, sila layari www.tnb.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN